Gabung UMT, UniSZA perlu libatkan kerajaan negeri

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan isu penggabungan UMT dan UniSZA perlu berlandaskan dengan kajian terperinci.

PETALING JAYA: Kerajaan Pusat wajar melibatkan kerajaan negeri Terengganu dalam perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung syor penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Kata beliau, ini kerana penggabungan kedua-dua pusat pendidikan tinggi itu sudah tentu akan memberi kesan kepada sektor pendidikan di Terengganu.

Malah kata beliau, isu penggabungan itu perlu berlandaskan dengan kajian terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan semua pihak termasuk pemegang taruh, kakitangan dan juga pelajar di kedua-dua institusi berkenaan mendapat maklumat jelas mengenai matlamat sebenar dan juga keperluan ke arah penggabungan tersebut.

Kaedah tersebut mampu membuka ruang lebih luas buat mereka terlibat dalam mencari jalan penyelesaian terbaik, kata beliau dipetik Utusan Online.

Kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi semalam berkata bahawa laporan mengenai cadangan penggabungan itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.

Kabinet pada 4 Sept dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 perpindahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Samsuri juga berkata, menjadi hak kerajaan pusat yang bertanggungjawab terhadap sesebuah universiti untuk menggabungkan mahu pun memecahkan institusi itu.

“Namun mereka harus belajar daripada isu-isu penggabungan di tempat lain di luar negara.

“Kriteria terpenting pada saya ialah keputusan itu perlu diperjelaskan untuk mengelak kekeliruan ramai di samping apakah model penggabungan tersebut sama ada untuk menyelamatkan sesebuah universiti atau bagi tujuan strategik, mengenal pasti alternatif lain dan kesannya dari segi perundangan, kos, sosial, nasib kakitangan serta institusi berkenaan,” kata beliau.

Bagaimanapun menteri besar memberitahu, penggabungan kedua-dua universiti itu secara luarannya dilihat tidak akan merencatkan usaha Terengganu untuk muncul sebagai negeri anjung ilmu seperti yang dihasratkan.

Malah beliau juga berkata, tidak timbul persoalan untuk kerajaan negeri mengambil alih UniSZA yang dahulunya merupakan institusi pendidikan miliknya sebelum diserahkan kepada kerajaan pusat pada 2005.

“Dalam Manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita menyatakan hasrat untuk memiliki institusi pengajian tinggi agama milik negeri menggantikan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) iaitu dengan mewujudkan universiti baru dan bukan mengambil alih UniSZA atau apa-apa universiti bawah kerajaan pusat ketika ini,” kata beliau.