Gesaan letak jawatan tak relevan, Zuraida jawab naib ketua Wanita PKR

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

PUTRAJAYA: Zuraida Kamaruddin berkata gesaan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan adalah tidak relevan.

Ketua Wanita PKR itu enggan mengulas lanjut gesaan naib ketuanya, Faizah Ariffin dan tidak berasa khuatir akan kemungkinan gesaan itu menjejaskan hubungan mereka dalam parti.

“Saya tidak khuatir. Tak releven dia orang ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan naib ketua wanita PKR itu selepas tidak berpuas hati dengan cadangan Zuraida untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi mengatasi masalah lambakan rumah tidak terjual di Malaysia.

Faizah berkata, cadangan Zuraida untuk menarik pembeli dari luar negara membeli rumah mewah yang tidak terjual merupakan cadangan yang dilihat kotor dan khianat kepada rakyat Malaysia.

Ini bukan kali pertama Faizah mengeluarkan kenyataan menggesa Zuraida berundur, pada Jun lepas beliau pernah menyarankan agar naib presiden PKR itu meninggalkan parti.

Zuraida sebelum ini berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk pembeli dari China dan Hong Kong adalah bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual dan masih masih lagi di peringkat cadangan.

Menurutnya, kempen yang terhad untuk rumah mewah tidak terjual itu baru dibincangkan kementeriannya dan cadangan kempen itu adalah merupakan maklum balas awal daripada lawatannya ke Hong Kong dan China baru-baru ini.

Zuraida berkata, HOC yang mahu dibuka kepada pembeli luar negara itu juga adalah bagi rumah yang berharga melebihi RM1 juta.