IPU lebih 200, 3 sekolah di Klang diarah tutup serta-merta

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berkata, sekolah yang diarah tutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang kerana bacaan IPU melebihi 200.

SHAH ALAM: Sebanyak 3 sekolah di Johan Setia, Klang dekat sini diarah tutup serta-merta hari ini ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200, iaitu kategori tidak sihat setakat pagi ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran KPM berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat berkenaan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor Muhamad Radzi Abdullah ketika dihubungi memaklumkan tempoh penutupan ketiga-tiga sekolah tersebut adalah bergantung kepada bacaan IPU semasa.

“Sekiranya bacaan IPU menurun di bawah 200, sekolah akan dibuka semula seperti biasa, pihak sekolah harus mengikuti perkembangan bacaan IPU dan bertindak mengikut pekeliling yang dikeluarkan KPM itu,” katanya.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 9 pagi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 213, Shah Alam (133), Klang (136), Banting (124), Petaling Jaya (126) dan Kuala Selangor (140).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Dalam pada itu, sebanyak 5 kawasan di Selangor mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (157), Petaling Jaya (153), Klang (150), Banting (132) dan Kuala Selangor (140).

Turut merekod bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (144) dan Cheras, Kuala Lumpur ( 127); Putrajaya (128); Nilai, Negeri Sembilan (127); Tangkak, Johor (110); Jerantut, Pahang (115) dan Sri Aman, Sarawak (160).

Kawasan lain dengan kualiti udara tidak sihat ialah Minden (103) dan Balik Pulau (128) di Pulau Pinang serta Tasik Ipoh (103) dan Seri Manjung (140) di Perak.

Sementara itu, sebanyak 51 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.