Kami sedia pelbagai inisiatif untungkan pelanggan, Mavcom tolak dakwaan Fernandes

Pengerusi eksekutif Mavcom Nungsari Radhi berkata, suruhanjaya itu melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada pengguna dan penggiat industri. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada pengguna dan penggiat industri sejak penubuhannya pada Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Pengerusi eksekutifnya Dr Nungsari Radhi berkata, inisiatif tersebut termasuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang memastikan pengguna hanya membayar perkhidmatan yang dipilih.

“Kami juga menghapuskan caj tersembunyi seperti fi di klia2. Manakala, yuran pemprosesan bayaran tidak boleh dicaj secara berasingan daripada tambang asas.

“Kami yakin langkah itu menyumbang kepada ketelusan yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan pengguna menikmati penjimatan wang dan membuat keputusan lebih bijak.

“Kami juga yakin aduan pengguna perkhidmatan penerbangan juga kini diberi lebih perhatian dan pulangan wang kepada penumpang dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada dakwaan ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes terhadap Mavcom baru-baru ini.

Fernandes yang memberikan komen itu menerusi platform LinkedIn pada Isnin mendakwa Mavcom gagal dalam sektor penerbangan dengan memberikan tujuh alasan.

Mengulas selanjutnya, Nungsari berkata, suruhanjaya itu meluluskan permohonan lebih 93% Hak Trafik Udara (ATR) sejak Januari 2018 hingga Ogos 2019.

Beliau berkata, ia sejajar dengan proses ketelusan yang diperkenalkan Mavcom susulan perbincangannya dengan syarikat penerbangan, termasuk AirAsia.

“AirAsia sebagai pihak utama yang menerima manfaat dengan lebih 50% daripada keseluruhan ATR diberikan kepada mereka dalam tempoh itu. Kami lihat 24% daripada ATR yang diberikan kepada AirAsia tidak digunakan dan dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata, Mavcom juga memperkenalkan FlySmart, inisiatif berorientasikan pelanggan sebagai antara usaha mengutamakan hak pengguna dalam sektor penerbangan dengan memberi perhatian kepada kesedaran pemanduan, pendidikan dan memperkasa hak pengembara.

“Pada hari ini, rakyat Malaysia boleh mengakses maklumat berhubung hak mereka sebagai pengembara menerusi pelbagai medium, termasuk laman web dan aplikasi mudah alih FlySmart,” katanya.

Nungsari berkata, suruhanjaya itu dan kakitangannya bertugas mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan berharap dapat memastikan penggiat industri turut menghormati undang-undang dan peaturan di negara ini.

“Banyak pihak berkepentingan dalam industri penerbangan di Malaysia, bukan hanya satu, dan peranan suruhanjaya ialah memastikan ia memberi faedah kepada industri secara keseluruhan dan tidak khusus kepada satu-satu pihak sahaja.

“Kami berkhidmat ke arah objektif itu dan akan terus berbuat demikian,” katanya.