Keluarga Memali sudah maafkan Umno, kata Setiausaha Agung PAS

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam satu sidang media di Menara Dato Onn, PWTC hari ini.

KUALA LUMPUR: PAS yakin keluarga mangsa tragedi Memali sudah memaafkan Umno berhubung insiden yang berlaku lebih 30 tahun lepas.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memberi gambaran bahawa isu itu tidak berbangkit menjelang majlis perisytiharan Piagam Muafakat Nasional PAS-Umno dalam acara Himpunan Perpaduan Ummah Sabtu ini.

Katanya, ia juga berdasarkan respons dan penerangan yang diberikan oleh keluarga mangsa kejadian itu.

“Kita boleh buat kesimpulan (keluarga mangsa Memali memaafkan), penerangan yang diberikan kepada kita dan mereka merupakan ahli PAS sama ada di peringat cawangan atau kawasan.

“Memali peristiwa yang sudah berlaku. Sebagai orang Islam kita terima takdir itu seadanya. Ahli PAS patuh kepada parti,” kata beliau ketika menjawab soalan sama ada keluarga mangsa Memali sudah memafkan Umno susulan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Takiyuddin berkata demikian pada sidang media di Menara Datuk Onn, PWTC hari ini berhubung persiapan akhir Himpunan Perpaduan Ummah yang akan bermula esok.

Beliau berkata, peristiwa Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu itu menjadi kecil dengan adanya inisiatif penyatuan ummah melibatkan 2 parti terbesar orang Melayu itu sekarang.

“Itulah kesimpulannya. Peristiwa lain juga, bukan sahaja Memali. Begitu juga dalam Umno, ada peristiwa yang pahit, tetapi sekarang menjadi kecil berbanding agenda besar yang kita beri keutamaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, bukti ahli-ahli parti itu sudah memafkan Umno jelas apabila PAS Baling sendiri mengadakan program bersama-sama dengan Umno sejak awal tahun lalu yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa Memali.

“Saya nak maklumkan bahawa PAS Memali adalah PAS yang ‘paling keras’ di Malaysia. Peristiwa itu berlaku pada 1985. PAS Memali kini telah membuat program bersama-sama Umno di Baling.

“Malah saya sendiri pergi ke beberapa tempat yang ada suara mempersoalkan kerjasama ini. Saya dapati masyarakat di Memali sudah akrab dengan Umno. Oleh sebab itu kenapa orang lain nak pikir lebih-lebih. Tidak ada masalah.

Takiyuddin berkata, kejadian Memali berlaku ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ke-4 dan beliau kini tidak lagi bersama-sama Umno.

“Kita semua tahu bahawa Memali berlaku semasa perdana menteri ke-4. Siapakah dia semua tahu. Jadi sekarang kita boleh buat pertimbangan mengenai perkara itu,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Mahathir yang meminta PAS menarik balik Amanat Haji Hadi terhadap Umno sebelum memuktamadkan kerjasama dengan Umno melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU), Takiyuddin menyifatkan kenyataan perdana menteri itu hanya bertujuan meraih sokongan politik.

“Saya kira kenyataan Mahathir itu satu kenyataan politik. Mungkin apabila dia lihat persiapan dan himpunan mendapat liputan begitu hebat, dia mahu cetuskan isu untuk mengalih pandangan masyarakat terbanyak kepada himpunan ini.

“Sebab itu Umno dan PAS sendiri kurang berminat untuk membuat komen balas, melainkan komen biasa sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausa Agung Umno, Annuar Musa berkata, tidak timbul isu maaf-memaafkan kerana Islam memang mengajar umatnya supaya bermaafan.

“Bagi Umno dan PAS tidak tidak timbul isu maaf. Bila kami bekerjasama, kami pandang ke hadapan,” katanya.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah mengorbankan 14 orang awam, 4 anggota polis dan berpuluh-puluh yang lain tercedera.