Kempen Pemilikan Rumah bukan sasar pembeli China, Hong Kong sahaja, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin (5 dari kanan) bersama timbalannya, Raja Kamarul Bahrin (6 dari kiri) ketika Majlis Pra-Pelancaran 7TH Asia-Pacific Urban Forum, hari ini.

PUTRAJAYA: Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini masih lagi di peringkat cadangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kempen yang terhad untuk rumah mewah tidak terjual itu baru dibincangkan di peringkat kementeriannya.

“Cadangan itu belum lagi dibawa ke Kabinet secara rasmi.

“Selepas penelitian dan cadangan itu diperkemaskan, kempen itu akan terbuka kepada semua pembeli luar negara dan bukan kepada China dan Hong Kong sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Forum Bandar Asia Pasifik Ketujuh (APUF7).

Beliau diminta mengulas cadangannya semalam bahawa HOC akan menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual di negara ini yang kini bernilai RM100 bilion.

Kenyataannya kemudian mendapat kritikan pelbagai pihak.

Zuraida berkata cadangan kempen itu merupakan maklum balas awal hasil lawatannya ke Hong Kong dan China baru-baru ini.

“Di sana ada mogok kerana rakyat tidak boleh memiliki rumah. Jadi cadangan itu ada ruang untuk dikaji dan masih di peringkat penelitian.

“Kempen ini hanya untuk Program Rumah Kedua,” katanya.

Zuraida berkata HOC yang mahu dibuka kepada pembeli luar negara juga adalah rumah yang harga pasarannya lebih RM1 juta.

“Jika kita mahu pemaju kurangkan harga rumah mewah itu kepada RM200,000. Itu mustahil.

“Ini merupakan pelan jangka panjang agar rumah mewah ini tidak terbengkalai dan terbiar,” katanya.

Zuraida berkata apa pun beliau menunggu maklum balas orang ramai dan pihaknya akan meneliti garis panduan serta satu mekanisme akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjaga permohonan rumah kedua.

Dalam perkembangan lain, Zuraida enggan mengulas lanjut berhubung kritikan berhubung cadangannya untuk menjenamakan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, beliau tidak akan menghapuskan PPR tetapi hanya menjenamakannya semula.

“Konsep tentu berbeza. Saya tak mahu panjangkan lagi takut media ambil kenyataan yang salah,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata pihak KPKT dan bomba sedia kerjasama dengan Indonesia sekiranya bantuan diperlukan untuk memadam kebakaran.

“Setakat ini belum ada apa-apa perbincangan tetapi kita sedia kerjasama,” katanya.