Kita tidak panik, kajian IDE mungkin hanya persepsi, kata pesuruhjaya PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS Selangor tidak panik berhubung kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendakwa sokongan kepada parti Islam itu di negeri berkenaan semakin merosot berbanding sokongan yang diterimanya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya tidak menolak dapatan kajian tersebut sambil memaklumkan ia kemungkinan persepsi yang dicipta pihak lawan untuk memberi gambaran bahawa bekas parti kerajaan negeri itu semakin lemah.

“Ini sekadar kajian. Boleh jadi kajian persepsi, tak apalah. PAS akan gunakannya sebagai tanda aras untuk mengatur langkah lebih berstrategi lagi.

“Kita tidak menolak sama sekali (kajian itu) dan kita juga tidaklah menerima 100%. Macam-macam boleh jadi dengan kajian itu. Boleh jadi betul, boleh jadi persepsi. Yang penting PAS Selangor terus bergerak mengatur strategi, apatah lagi kita sekarang bergerak dalam kerjasama Perpaduan Ummah bersama Umno.

“Saya fikir ada benda-benda yang kita boleh dijadikan langkah positif,” katanya kepada FMT ketika mengulas kajian terbaru badan penyelidikan milik kerajaan negeri Selangor itu.

Yunus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang itu berkata, pihaknya juga mempunyai kajian tersendiri dan jumlah ahli baru yang menyertai PAS menunjukkan peningkatan.

“Bulan lepas sahaja kita terima lebih 400 ahli baru di Selangor. Malah bukan sahaja di Selangor, di seluruh Malaysia juga meningkat,” katanya sambil memaklumkan sokongan di peringkat akar umbi juga baik berdasarkan program yang dijalankan.

Beliau juga berkata, rata-rata rakyat di Selangor menyuarakan rasa kecewa mereka terhadap prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak boleh nafi juga respons di media sosial. Walaupun bukan kajian strategik dan hanya berdasarkan permerhatian, rakyat cukup marah dengan beberapa agenda melibatkan inisiatif peduli rakyat yang dijanjikan semasa pembentangan belanjawan, tetapi tidak dilaksana dengan baik. Ramai tidak puas hati,” katanya.

IDE sebelum ini berkata, kajian terbarunya mendapati sokongan kepada PAS menurun kepada 8% berbanding 15% sebelum ini.

“Penemuan ini adalah hasil survei terakhir IDE yang diadakan pada 12 hingga 14 Julai yang lalu.

“Selain survei yang dijalankan, IDE juga menjalankan beberapa siri penelitian lapangan sepanjang Ogos dan September ini bagi meneliti trend ini bukan sahaja di Selangor, tetapi di seluruh negara,” kata Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir.

Khairul bagaimanapun berkata, kemerosotan itu tidak bermakna pengundi membuat keputusan mengalihkan sokongan mereka kepada PH atau Umno.

Beliau berkata, kebanyakan pengundi di Selangor cenderung memerhati perkembangan semasa dalam menentukan sokongan politik masing-masing pada pilihan raya seterusnya.

“Kajian juga menunjukkan sokongan kepada PH dan Barisan Nasional (BN) adalah stabil seperti yang diberikan oleh pengundi pada PRU yang lalu,” katanya.

Sebelum ini Khairul berkata, berdasarkan kajian IDE sebelum PRU14 menunjukkan sokongan PAS di Selangor adalah 12% dan melonjak kepada 15% ketika PRU14.

Dalam pada itu, Yunus berkata, PAS dan Umno masih berpeluang untuk merampas kerajaan Selangor dalam pilihan raya akan datang.

“Pelung pembangkang tawan Selangor masih ada. Kalau gabung undi antara PAS dan Umno dalam pilihan raya lalu, ada kerusi yang majoritinya lebih besar, itu jika kita ambil kira keadaan masa itu,” katanya.

PAS mempunyai satu kerusi di DUN Selangor selepas PRU14 berbanding 15 ketika PRU13. Umno mempunyai 5 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi.