Pemimpin Syiah bimbang ‘Syiah fobia’ gugat keharmonian negara

Pegawai JAINJ menyerbu sebuah rumah di Kempas, Johor malam isnin lalu, di mana pengikut Syiah mengadakan majlis mengingati Hari Asyura.

PETALING JAYA: Pemimpin komuniti agama yang diserbu jabatan agama Islam negeri bimbang dengan tindakan pihak berkuasa itu yang mempromosikan “Syiah fobia” yang dilihat mampu menggugat keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Pengerusi Komuniti Syiah di Malaysia, Hassan Al Attas berkata, layanan berbeza diberikan pihak berkuasa terhadap pengikut ajaran berkenaan secara tidak langsung menajamkam lagi titik perbezaan antara pengikut Sunnah-Syiah.

“Lebih dikesali, jika perbuatan menindas yang berlaku terhadap pengikut komuniti ini didorong sokongan tindakan politik kuasa-kuasa besar dalam menghancurkan perpaduan umat Islam.

“Budaya ‘Syiah fobia’ akan mempromosi reaksi kebencian dan layanan buruk dalam kalangan rakyat Malaysia dan akan melahirkan kelompok ekstrem dalam bertindak balas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hassan, tindakan menyemarakkan “Syiah fobia” juga dilihat akan membuka ruang untuk pihak tertentu melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam negara.

Beliau mengambil contoh kehilangan seorang aktivis di Perlis, Amri Che Mat yang dinyatakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerusi hasil laporan inkuiri sebagai mangsa kehilangan paksa.

Begitu juga seminar “The Amman Message” anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang sepatutnya berlangsung pada 13 Julai lalu namun dibatalkan berikutan ugutan bom diterima seorang pengguna Facebook.

Hassan berkata, rakyat Malaysia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan seseorang itu berhak memilih serta menentukan kepercayaannya selagi diamalkan secara tertutup untuk dirinya dan keluarganya.

“Kami boleh mengadakan majlis tertutup khusus untuk ahli kami sahaja dari kalangan para pencinta Rasulullah dan keluarganya.

“Maka insiden penangkapan dan gangguan terhadap majlis kami sedangkan itu majlis tertutup untuk ahli kami sahaja, tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa agama Selangor dan Johor menahan berpuluh-puluh pengikut aliran Syiah, dalam beberapa serbuan sempena Hari Ashura yang memperingati ulangtahun kematian Sayyidina Hussein, cucu Nabi Muhammad.

Tindakan itu dikritik Suhakam yang menyifatkannya sebagai melanggari hak perlembagaan umat Islam Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Mazhab Syiah, mempunyai ramai pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian Arab Saudi, Yaman dan Pakistan, adalah aliran Islam kedua terbesar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama di Malaysia mengeluarkan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah menyimpang, sementara khutbah Jumaat di Selangor kerap mengutuk aliran Syiah sebagai sesat.

Seorang penasihat Hassan berkata, saranan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor supaya Kementerian Pendidikan memasukkan fakta kefahaman mengenai ajaran Syiah dalam sukatan pelajaran pengajian Islam hanya akan mengeruhkan keadaan.

Penasihat yang enggan namanya didedahkan percaya, pandangan komunitinya tidak akan diambil kira untuk dimuatkan dalam sukatan pendidikan, sebaliknya hanya pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Oleh kerana pandangan sebelah pihak, mungkin boleh keruhkan keadaan lagi. Jadi lebih baik kita bersederhana, hormati perbezaan. Kita rakyat boleh berbeza selagi mana kita patuh pada raja dan perlembagaan.

“Adakah pandangan kami itu akan diambil kira Kementerian Pendidikan? Ia nampak macam okay, tetapi pandangan sebelah pihak. Sepatutnya kita serapkan nilai untuk hormati perbezaan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berpandangan, pihaknya akan akur dengan tindakan jabatan agama Islam yang menahan pengikut komuniti berkenaan, sekiranya terbukti di mahkamah pengikutnya menyebarkan secara terbuka ajaran berkenaan.

“Jika ada bukti kami menyebarkan Syiah, maka kami tidak boleh menafikan untuk berdepan tindakan undang-undang. Mungkin ada seorang dua yang salah kerana melanggar peruntukan undang-undang.

“Maka yang salah tetap salah. Kami tidak akan pertikaikan perkara itu dan sedar bahawa dia perlu dihukum, dan juga perlu dibuktikan di mahkamah bahawa dia melanggar hukum,” katanya.