Pengerusi SPR nafi tidak pertahan pegawai dalam kes Kimanis

Pengerusi SPR Azhar Harun.

KOTA KINABALU: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun hri ini menolak anggapan bahawa beliau tidak mempertahankan pegawainya dengan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mendapati keputusan pilihan raya Parlimen Kimanis tidak sah dan batal.

Azhar berkata, keputusan mahkamah itu tidak mensabitkan mana-mana pegawai SPR melakukan apa-apa kesalahan.

“Keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak menyebut mana-mana orang sekalipun. Ia hanya memutuskan bahawa berdasarkan ketidakseragaman angka dalam Borang 13 dan Borang 14, maka kertas undi tambahan telah dimasukkan,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga tidak mengenal pasti pihak yang menambah kertas undi berkenaan.

“Ia tidak menyebut kakitangan saya. Ia tidak sebut sesiapa pun. Ia hanya membuat kesimpulan,” katanya kepada pemberita pada satu acara di sini.

Pada 16 Ogos, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman, yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Kimanis dalam pilihan raya umum Mei 2018.

Anifah memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti kecil 156 undi selepas mendapat 11,942 undi berbanding calon Warisan Karim Bujang yang meraih 11,786 undi, sementara calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail mendapat 1,300 undi.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya tahun lepas.

Peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad berasa kecewa atas keputusan SPR untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

“Luar biasa apabila SPR tidak mempertahankan pegawainya sendiri. Mereka sepatutnya membuat rayuan kerana berdasarkan dapatan Mahkamah Pilihan Raya, pegawai pilihan raya dan pegawai lain kini terdedah kepada liabiliti jenayah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya,” kata Fuad.

Azhar berkata, pihaknya masih mempertahankan bekas pegawai pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Bagi Rantau, ia satu keputusan tidak popular. Kami dikecam kerana memfailkan rayuan,” katanya.

Pada November, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan di DUN Rantau, yang dimenangi oleh bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan. Beliau memenangi semula kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

Ketika membatalkan keputusan di Kimanis, Hakim Lee Heng Cheong berkata, pemeriksaan kotak undi mendapati adanya elemen manipulasi, termasuk kertas undi tambahan, yang bertentangan dengan undang-undang pilihan raya.

Hakim berkenaan berkata, berlaku pelanggaran serius terhadap proses pilihan raya dengan 341 undi dibuang secara salah.

Dalam pada itu Azhar berkata, SPR akan mengambil bahagian dalam prosiding rayuan berikutan penghujahan pasukan peguam Anifah pada 27 Ogos untuk mencabar keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

“Mengikut undang-undang, apabila mereka membuat rayuan, hatta sekiranya saya tidak merayu, mereka akan menjadikan saya responden. Jadi saya masih terlibat. Saya akan hadir dan mengambil bahagian,” kata Azhar.

Beliau berkata, kes itu perlu diselesaikan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh rayuan, dengan menambah satu pilihan raya kecil akan diadakan sekiranya mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya.