Perkara 3 Perlembagaan tidak sebut Sunni atau Syiah, kata Suhakam

Suhakam menggesa pihak berkuasa agama mengambil kira Mesej Amman yang menyarankan sikap toleransi dalam kalangan orang Islam.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa pihak berkuasa mengambil kira dokumen antarabangsa yang berikrar menamatkan sektarianisme dalam kalangan orang Islam dalam usaha mencapai persetujuan tentang Islam versi manakah yang diiktiraf oleh undang-undang.

Pesuruhjaya Suhakam Hishamudin Yunus berkata, dalam menafsirkan bentuk Islam manakah yang dimaksudkan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, pihak berkuasa hendaklah merujuk kepada Mesej Amman yang ditandatangani pada 2005.

“Kita harus mempunyai semangat serupa dengan Mesej Amman,” kata bekas hakim itu pada satu forum yang diadakan bersempena 20 tahun pembentukan Suhakam.

Mesej Amman yang ditandatangani oleh pemimpin Jordan Raja Abdullah II pada 2004, menghimpukan lebih 200 cendekiawan dan pemimpin kerajaan Islam yang mewakili pelbagai mazhab dan aliran pemikiran, menggesa sikap toleransi dalam kalangan orang Islam.

Antara pemimpin kerajaan yang menandatangani dokumen tersebut ialah bekas perdana menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi.

Hishamudin berkata, perlembagaan tidak menetapkan mazhab atau aliran pemikiran tertentu.

“Perkataan yang digunakan ialah Islam. Ia tidak sebut Sunni atau Syiah,” katanya.

Hishamudin Yunus.

Komentar beliau dibuat berikutan serbuan terbaru pihak berkuasa ke atas pengikut Syiah di negara ini yang menyaksikan beberapa orang yang menghadiri satu acara tertutup bagi mengingati Asyura, ditahan.

Asyura adalah hari sambutan ulang tahun pembunuhan cucu Nabi Muhammad, Hussein bin Ali.

Tindakan itu mendapat kritikan Suhakam yang mengingatkan pihak berkuasa bahawa perlembagaan negara menjamin kebebasan beragama.

Pihak berkuasa agama negeri melabelkan Syiah sebagai “menyeleweng”, selain menggesa orang Islam Malaysia supaya mengikut mazhab Sunni.

Khutbah Jumaat di Selangor kerap menyelar ajaran Syiah.

Dalam pada itu, Suhakam berkata, ia turut menyampaikan mesej berkaitan kepada orang Islam di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan menyediakan khutbah Jumaat bertemakan isu hak asasi manusia.

Dalam pada itu seorang lagi Pesuruhjaya Suhakam, Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, pada mulanya jabatan agama negeri beranggapan pandangan badan itu mengenai hak asasi adalah berlawanan dengan pandangan mereka, termasuk mengenai isu LGBT.

Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

“Kami memberitahu mereka bahawa Suhakam melindungi hak sama golongan LGBT untuk mendapat pendidikan, pekerjaan, perumahan, kehormatan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

“Mereka berkata, mereka juga berbuat demikian. Jadi kami bersependapat, walaupun perkataan yang digunakan berbeza.”

Katanya, Suhakam tidak akan campur tangan dalam perkara berkaitan agama, seperti serbuan pigak berkuasa Islam ke atas pasangan tidak berkahwin melakukan khalwat, atau hukuman yang dikenakan ke atas murid di sekolah tahfiz.

“Bagaimanapun kita boleh memberi kesedaran tentang cara mengetuk pintu, dan jika mereka enggan membukanya, kita akan menendang pintu berkenaan, tetapi memaklumkan perkara itu terlebih dahulu bahawa pegawai penguat kuasa akan memasuki premis terbabit,” kata Nik Salida.

Beliau berkata, Suhakam akan menasihati sekolah agama supaya mengikuti prosedur operasi standard berkaitan langkah merotan murid kerana melanggar disiplin.

“Kita tak kata tidak boleh rotan. Tetapi ia tidak dibenarkan jika tidak mengikut SOP.”