PM setuju Kabinet bincang Wawasan Kemakmuran Bersama Sabtu ini

Wawasan Kemakmuran Bersama menggariskan hasrat agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada Sabtu ini bagi membincangkan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan yakin Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan harapan dan agenda baru untuk masa depan Malaysia yang menjadi asas kepada penyatuan negara.

Ia pernah diumumkan perdana menteri ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) Oktober lepas dan kerangka asasnya dijelaskan dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei lepas.

Wawasan itu menggariskan hasrat agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030.

Ia merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Sehubungan itu, bajet tahunan kerajaan sepanjang RMK12 dan RMK13 akan dijajarkan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama.

Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini merupakan satu belanjawan persiapan supaya semua pihak dapat bersedia apabila inisiatif RMK12 dimulakan pada 2021, menurut kementerian tersebut.

Tempoh 10 tahun yang disasarkan bagi merealisasikan wawasan itu memerlukan kerjasama strategik dan peranan bukan sahaja kerajaan, tetapi semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, akademia, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat.

Menurut kenyataan itu, wawasan baru itu juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia bagi menjamin ia terus berkembang dengan mampan dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat.