Polis siasat kekecohan penguat kuasa, peniaga ‘food truck’ di Padang Kota

Tular video di media sosial memaparkan kekecohan berlaku apabila cermin “food truck” milik peniaga dipercayai dipecahkan pihak MBPP.

PETALING JAYA: Polis berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kekecohan antara penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan peniaga di Padang Kota, Georgetown Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Che Zaimani Che Awang berkata kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis.

“Saya hanya nyatakan ada laporan dibuat oleh kedua-dua pihak. Pihak polis menyiasat dari sudut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, tular video memaparkan cermin kenderaan “food truck” milik peniaga dipercayai dipecahkan pihak MBPP.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan ketika pihak berkuasa tempatan itu menjalankan operasi bersepadu pada 9.20 malam Selasa lalu.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai 6 anggota dari Bahagian Perlesenan dan 8 dari Jabatan Penguatkuasaan MBPP di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah.

“Ketika menjalankan penguatkuasaan dan tindakan, terdapat peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dikeluarkan MBPP di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1979.

“Ketika tindakan diambil, pemilik kenderaan itu dalam usaha meloloskan diri serta bertindak agresif lalu merempuh lori tunda penguat kuasa MBPP secara berbahaya selain menimbulkan ancaman terhadap anggota yang bekerja serta orang awam,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut rekod MBPP, ini merupakan kes kali kedua melibatkan lori yang sama dan kali pertama adalah pada 25 Oktober 2017.