Tiada projek mega tidak baik untuk perniagaan, keluh firma jentera berat

Projek ECRL dan Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar kumulatif RM150 bilion adalah antara projek melibatkan syarikat China yang dimulakan oleh kerajaan BN yang diputuskan untuk diteruskan oleh kerajaan sekarang.

KUALA LUMPUR: Industri kejenteraan berat tempatan menggesa kerajaan merancang lebih banyak projek mega tahun depan dengan berkata, mereka kini berdepan masalah untuk meneruskan perniagaan berikutan ketiadaan projek mega tahun lepas.

“Masalah utama yang dihadapi ahli kami tahun lepas ialah kurangnya projek pembinaan yang dijalankan berikutan keputusan kerajaan menangguhkan, merunding atau mengkaji semula kebanyakan projek mega bagi mengurangkan kos,” kata Presiden Persatuan Pemilik Jentera Berat Pembinaan Malaysia, Liew Yu Chan.

Liew berkata, berikutan itu kumpulannya yang mewakili syarikat kejenteraan berat tempatan, mengalu-alukan keputusan Putrajaya untuk memulihkan beberapa projek mega yang diumumkan oleh kerajaan lepas, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Bandar Malaysia di Johor.

“Kami harap lebih banyak dana diperuntukkan kepada sektor pembinaan bagi membolehkan lebih banyak projek mega dijalankan semula, justeru terus merangsang ekonomi,” katanya pada sesi dialog meja bulat Belanjawan 2020 di sini, hari ini.

Dialog yang diadakan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini dianjurkan oleh badan pemikir, Bait Al-Amanah dan Institut Analisis Strategik dan Kajian Dasar.

ECRL dilancarkan semula pada Julai lalu dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion dan landasan lebih pendek bagi menghubungkan pantai timur dengan pantai barat, sekali gus melupuskan keputusan kerajaan membatalkan projek berkenaan sebelum itu susulan masalah kewangan negara.

Projek ECRL dan Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar kumulatif RM150 bilion adalah antara projek melibatkan syarikat China yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diputuskan untuk diteruskan oleh kerajaan sekarang.

Beberapa projek China lain, termasuk 2 projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion ditangguhkan tanpa ditentukan tarikh tamatnya.

Liew berkata, belanjawan tahun depan harus mempunyai peruntukan untuk projek infrastruktur, terutamanya untuk tujuan pelebaran jalan.

“Salah satu masalah yang terus membebankan ahli kami ialah semakin banyak jalan raya tidak boleh digunakan oleh jentera berat pada masa puncak. Terbaru ialah jalan dari Selayang ke Rawang.

“Ini susulan kesesakan lalu lintas yang dikatakan disebabkan oleh jentera berat.”

Liew berkata, larangan sedemikian menghalang ahli kumpulannya daripada tiba ke tapak kerja tepat masa.

Justeru beliau mencadangkan peruntukan belanjawan khusus untuk tujuan pelebaran jalan bagi membolehkan sekatan ke atas jentera berat pada masa puncak ditarik balik.

Liew juga menggesa Putrajaya menimbang untuk memperkenalkan undang-undang bagi memaksa syarikat pembinaan asing membeli atau menyewa jentera berat daripada pengedar atau syarikat sewaan tempatan, melainkan sekiranya peralatan yang diperlukan mereka tidak ada di negara ini.

Katanya, terdapat kecenderungan syarikat kendalian asing itu untuk menjalankan perniagaan di negara itu, yang menurut beliau memberi kesan ke atas pemain industri tempatan.

“Syarikat asing ini, dari China terutamanya, mengimport semua keperluan dari negara asal mereka, termasuk peralatan dan tenaga kerja.

“Ini menyekat peluang perniagaan orang tempatan. Ia juga membolehkan syarikat asing bersaing secara tidak adil kerana mereka mampu menyiapkan projek pada kos yang jauh lebih rendah,” katanya.

Liew juga meminta kerajaan menghapuskan sama sekali duti import ke atas semua jentera berat. Katanya, pada masa ini, duti import Malaysia ke atas jentera berat adalah paling tinggi di Asia Tenggara.

“Sektor pembinaan Malaysia sangat bergantung pada peralatan pembinaan berat yang diimport kerana negara ini tidak mempunyai pengeluar peralatan berat tempatan, selain kren menara.

“Duti import lebih tinggi ke atas peralatan pembinaan akan menjadikan kos pembinaan lebih tinggi, dan ini juga tertakluk kepada pelbagai bentuk penyelewengan dan rasuah,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Okt ini.