Bahang Hari Malaysia semakin dirasai

Bahang Hari Malaysia semakin dirasai berikutan terdapat beberapa pihak yang mula menyusun aktiviti bersesuaian bagi menghangatkan lagi sambutan 16 September Isnin ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Shaid Rosli, karnival terbesar di Selangor itu akan diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram, Bandar Puncak Alam.

Jelasnya, ia bertujuan bagi merapatkan hubungan penduduk pelbagai kaum di sekitar Jeram sekaligus dapat mengukuhkan perpaduan.

“Aktiviti seperti ini sudah pasti dapat menyemai keharmonian sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat,” katanya.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram bakal menganjurkan Karnival MyJeram 2019 selama tiga hari bermula 27 September ini.

Ia mensasarkan 150,000 pengunjung dalam kalangan pelajar, belia, peniaga tempatan dan usahawan muda.

Pelbagai acara menarik disediakan sempena karnival tersebut seperti wacana intelek, memanjat dinding, bazar peniaga, pertandingan sepak penalti dan pertandingan mewarna.

Selain itu karnival tersebut dijangka akan dirasmikan Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar, Rina Harun.

Selain pengunjung boleh menyertai aktiviti yang disediakan, mereka turut berpeluang memenangi hadiah, wang tunai dan motosikal menerusi cabutan nombor bertuah.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]