Exco Selangor nafi pembakaran terbuka di Johan Setia punca jerebu

KLANG: Kurang 5% daripada 404 hektar tanah pertanian di Johan Setia di sini menjadi “mangsa” pembakaran terbuka, kata Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Beliau berkata kesan pembakaran terbuka itu juga bukan punca utama bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap sangat tidak sihat di kawasan berkenaan sejak semalam sebaliknya ia disebabkan jerebu rentas sempadan.

Hee yang ditemui pemberita selepas meninjau tanah-tanah pertanian di Johan Setia petang tadi berkata kebanyakan pembakaran terbuka di kawasan itu dikesan dilakukan oleh petani warga asing kerana mereka melihat cara berkenaan adalah amalan paling mudah untuk ‘membersihkan’ kebun.

“Tanah-tanah pertanian di sini adalah kawasan kedua terbesar selepas Cameron Highlands dalam penanaman sayur-sayuran.

“Namun apa yang kita lihat, pembakaran terbuka seperti ini sekarang lebih terkawal berbanding dulu… hanya kawasan kecil (tanah pertanian) saja yang terbakar dan ia tidak menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU di sini.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap memberi amaran kepada pemilik tanah pertanian terbabit supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan tanah mereka tidak dicerbohi warga asing untuk bertani atau bakal berdepan tindakan mahkamah dan kompaun,” katanya.

Hee turut mengakui masalah pembakaran terbuka di tanah pertanian di Johan Setia itu bukan isu baru dan telah berlarutan sejak sekian lama disebabkan pemilik asal tanah dilihat tidak serius membantu kerajaan negeri membanteras amalan berkenaan.

Justeru katanya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor akan bekerjasama rapat dengan imigresen dan polis bagi melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap petani warga asing berkenaan.

“Walaupun JAS Selangor sentiasa melakukan rondaan bagi membanteras pembakaran terbuka, namun setibanya di lokasi, pelaku terus ‘ghaib’. Disebabkan itu kita mahu kerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkenaan kerana mereka mempunyai kuasa untuk terus tangkap dan kenakan tindakan terhadap pelaku itu termasuk warga asing,” katanya.

Bagi mengurangkan kes pembakaran terbuka baru di Johan Setia, Hee berkata JAS Selangor telah diarahkan melakukan rondaan 24 jam setiap hari bagi memantau isu tersebut.

Sementara itu, Hee berkata kerajaan negeri mengedarkan 6,000 topeng bagi perlindungan kesan jerebu kepada rakyat di Johan Setia secara berperingkat sebagai galakan kepada mereka memakainya bagi mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan susulan IPU di kawasan itu masih melebihi bacaan 200.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 8 malam ini, IPU di Johan Setia, Klang menunjukkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 251 manakala lima lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Shah Alam (162), Klang (166), Banting (171), Petaling Jaya (169), dan Kuala Selangor (121).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).