Mahkamah kurangkan hukuman penjara lelaki hina nabi

Alister Cogia (kanan) di luar Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 10 kepada 6 tahun dikenakan ke atas seorang lelaki berusia 22 tahun berhubung kesalahan menghina Islam di media sosial.

Alister Cogia pada asalnya dihukum penjara 10 tahun dan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah atas 5 pertuduhan menghina Nabi Muhammad di Facebook pada Februari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, dia dirujuk ke institusi mental selepas ibunya mendakwa dia menunjukkan tanda sakit mental sejak kecil, dengan peguamnya meminta semakan semula kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal Ramli, semasa memberi keputusan berhubung permohonan semakan semula hari ini, berkata Alister harus menjalani hanya 3 daripada 5 pertuduhan tersebut secara serentak. Hukuman itu akan berjalan berturut-turut dan 2 lagi tuduhan dengan denda RM50,000 sebagai ganti penjara 6 tahun.

Azahari berkata, laporan perubatan Alister menunjukkan dia mempunyai masalah mental dan sedar tindakannya dan pertuduhan terhadapnya.

Peguamnya, Francis Teron bagaimanapun kekal berpendapat Alister tidak memahami tuduhan terhadapnya.

Azahari berkata Alister mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.