Putrajaya bakal miliki stadium moden bola sepak

Presiden FAM Hamidin Mohd Amin. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebuah stadium bola sepak moden bakal dibina di Presint 5, Putrajaya bersama-sama ibu pejabat baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru.

Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan presint itu sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Bandar Bola Sepak (Football City), yang menempatkan ibu pejabat FAM, sambil diapit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Hamidin mengetuai delegasi FAM meninjau tapak pusat latihan dan ibu pejabat baru badan induk itu bersama-sama 2 timbalannya Subahan Kamal dan Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; dan barisan exco.

Beliau berkata tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM, selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tujuan utama FAM untuk membina pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia, menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Dalam lawatan itu, Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Fadlun Mak Ujud memberi taklimat dan penerangan terperinci mengenai pembangunan bandar bola sepak di Presint 5.
Sejajar dengan hasrat PPj yang mahukan pusat latihan itu dibuka kepada kegunaan masyarakat setempat, FAM bercadang menggunakan kaedah guna sama selain menimbang kemungkinan membina taman rekreasi, untuk kegunaan penduduk setempat di Putrajaya.

Lawatan rasmi FAM kemudian diakhiri dengan tinjauan ke ibu pejabat AFF yang baharu.