Rogol pembantu rumah, warga India dipenjara 13 tahun, 7 sebatan

Mahkamah mendapati kesalahan yang dilakukan tertuduh amat mengecewakan kerana menyalahgunakan peluang bekerja dan kebebasan yang diberikan di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara India dihukum penjara 13 tahun dan 7 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang pembantu rumah, tahun lepas.

Hakim Noradura Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas N Balu ,44, seorang buruh, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat mengecewakan apabila peluang dan ruang yang diberikan kepadanya untuk bekerja disalahgunakan.

“Mahkamah mengambil kira prinsip kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Di Malaysia, warga asing diberikan kebebasan untuk bekerja mahupun melakukan aktiviti sosial, namun mereka tidak boleh melakukan kesalahan jenayah sewenang-wenangnya. Tambahan pula, Malaysia memberi jaminan keselamatan kepada seluruh masyarakat, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Noradura berkata, mahkamah juga mendapati tertuduh tidak serius ketika memberi keterangan berdasarkan lenggok badan dan cara bercakap yang sambil lewa.

“Mahkamah juga mendapati keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak berasas dan tiada merit,” katanya yang membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes yang bermula 14 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa merogol seorang wanita warganegara Indonesia berusia 43 tahun di dalam bilik di pangsapuri kos rendah di Brickfields di sini pada 11 pagi, 16 Dis 2018 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman penjara yang setimpal terhadap kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

“Dalam kes ini, kejadian berlaku di Malaysia memburukkan nama baik dan imej negara di mata dunia.

“Tertuduh juga adalah warganegara asing, sekiranya kesalahan seperti ini tidak dikawal ia boleh menjejaskan keselamatan wanita dan kanak-kanak perempuan. Perbuatan tertuduh mengakibatkan mangsa mengalami trauma kesan daripada kejadian itu,” katanya.

Peguam Razman Sahat yang mewakili Balu merayu hukuman penjara minimum kerana anak guamnya menanggung keluarga di negara asalnya.

“Hukuman pemenjaraan panjang terhadap anak guam saya hanya akan menambah kos penyelenggaraan tanggungan banduan dalam kalangan warga asing,” katanya sambil menambah anak guamnya tinggal di negara ini selama 9 tahun.