Tertuduh jerit ‘suami saya dalam bilik’ ketika pintu dipecahkan, kata saksi

Raju Kumar Pandit.

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia cuba memecahkan pintu bilik tidur Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan semasa kebakaran pada Jun lalu.

Raju Kumar Pandit, seorang warga Nepal, yang bekerja di Mutiara Homes, Petaling Jaya berkata, dia dimaklumkan oleh wanita pemilik rumah itu bahawa Nazrin berada dalam bilik itu.

Wanita itu dikenalpasti sebagai isteri Nazrin, Samirah Muzaffar.

“Saya diberitahu oleh seorang jiran di barisan rumah yang sama pada petang 14 Jun tahun lepas bahawa ada masalah di situ,” kata Raju menerusi seorang penterjemah.

“Apabila saya tiba di rumah itu, saya nampak pemilik rumah berdiri di anjung dan pintu pagar terbuka. Dia beritahu dia belum menghubungi bomba.”

Raju ternampak asap keluar dari tingkat 1 rumah itu.

Beliau bergegas ke bilik tidur yang terletak di tingkat 1, dan memberitahu mahkamah ia dipenuhi asap.

“Saya cuba buka pintu tapi berkunci. Pemilik rumah berkata dia tiada kunci pintu bilik tidur itu,” katanya.

Beliau meminta tukul daripada Samirah tetapi diberitahu dia tiada tukul.

“Pada masa sama, jiran masuk ke dalam rumah dan beri batang besi,” katanya.

Raju mengenalpasti batang besi itu apabila ditunjukkan ekshibit oleh pegawai penyiasat, Nizam Daud.

Beliau memberitahu dia gagal memecahkan pintu itu.

“Saya hanya berjaya patahkan tombol. Pada masa saya, saya terdengar jeritan pemilik rumah (Samirah) tapi saya tak tahu kenapa dia menjerit,” katanya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran apakah keadaan Samirah apabila dia pertama kali ternampaknya di luar rumah, Raju berkata Samirah menangis dan nampak ketakutan.

“Salah seorang anak lelaki di rumah itu beritahu bapanya di dalam bilik dan ‘esok (15 Jun) Hari Raya’,” katanya.

Raju berkata Samirah cuba meluru ke dalam bilik itu selepas dia akhirnya berjaya membuka pintu.

“Dia asyik menjerit ‘suami saya dalam bilik’ tetapi saya halang dia kerana bilik sedang terbakar,” katanya.

Samirah dan dua remaja lelaki dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018. Seorang lagi saspek, Eka Wahyu Lestari, seorang warga Indonesia, masih bebas.

Pendengaran di depan Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman akan bersambung pada 20 Sept.