Selepas piagam, Umno-PAS jangan main sentimen sahaja, kata Pemuda

Shahril Sufian Hamdan.

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno mengingatkan partinya dan PAS supaya tidak terleka dengan piagam kerjasama kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu, menegaskan pemeteraian itu hanya permulaan kepada kerja keras.

Naib Ketua Shahril Sufian Hamdan meminta Umno dan PAS jangan setakat memainkan isu sentimen semata-mata, tetapi mengisi kerjasama itu dengan hal ekonomi dan masa depan anak muda.

“Esok hanyalah permulaan untuk kita bekerja…apa yang kita hendak isi? Kita sudah kena fikir apakah tawaran pembangkang. Belum tentu kita akan menang sebab rakyat marahkan Pakatan Harapan,” katanya di satu program belia sempena Himpunan Penyatuan Ummah petang tadi.

Lebih 500 orang menghadiri program yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, untuk mendengar pembentangan Shahril, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin,

Turut serta sebagai ahli panel adalah Ketua Penerangan Pemuda Umno Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhil Shaari.

Shahril mencadangkan Pemuda Umno dan PAS berganding bahu melaksanakan inisiatif mendayakan ekonomi digital untuk anak muda.

Umno mentadbir Pahang dan Perlis manakala PAS mentadbir Kelantan dan Terengganu.

“Saya nampak lebih 40% anak-anak kita di sekolah hari ini akan esok bekerja dalam pekerjaan yang sudah tidak wujud lagi,” katanya.

“Jangan tertawa. Kita sepatutnya dan sekurang-kurangnya menangkap perhatian anak muda bahawa ekonomi masa depan adalah ekonomi digital. Kita kena fikir apakah tawaran Pemuda,” tambahnya.

Di peringkat Pemuda Umno, Shahril berkata mereka secara langsung membantu anak-anak muda Melayu mempelajari bidang pengaturcaraan dalam bahasa kebangsaan.

“Kelas yang ditawarkan di luar sana dalam bahasa Inggeris dan harganya pula mahal,” katanya.

Mengenai kerjasama erat antara Umno dan PAS mutakhir ini, Shahril menyifatkan ia sebagai kejayaan terbesar PH kerana berjaya menggabungkan dua parti Melayu dan Islam terbesar.

“Ini kemuncak kejayaan PH. Kejayaan paling besar kerajaan hari ini bukan pendidikan dan ekonomi tetapi menyatupadukan dua parti yang tidak bersama sejak sekian lama,” katanya.