Teresa optimis eksport minyak sawit ke Vietnam meningkat

Menteri Industri Utama Teresa Kok pada Pameran Perdagangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia-Vietnam di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam hari ini.

HO CHI MINH: Menteri Industri Utama, Teresa Kok optimis eksport minyak sawit ke Vietnam akan berkembang susulan negara itu kini pertumbuhan pesat ekonomi yang dialami negara itu, selain peningkatan taraf hidup.

Pada satu sidang media selepas pelancaran Pameran Perdagangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia-Vietnam (POTS) di sini hari ini, Teresa berkata, Vietnam merupakan pasaran penting minyak sawit Malaysia dan kepentingan itu akan terus meningkat.

Katanya, pada 2018, Vietnam menggunakan 1.5 juta tan minyak dan lemak, tetapi hanya mengeluarkan sebanyak 550,000 tan.

“Mereka memerlukan lebih banyak bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan. Justeru mengikut perkiraan kita, Vietnam perlu mengimport lebih 900,000 tan minyak bagi memenuhi permintaan penggunaannya.”

Teresa berkata, minyak sawit adalah minyak import utama Vietnam, mewakili 89% daripada semua minyak dan lemak yang diimport, justeru menjadikan negara itu pasaran penting Malaysia.

Menurut pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lee Yeow Chor, yang turut hadir, Vietnam mengimport 462,000 tan minyak dan produk minyak sawit dari Malaysia tahun lepas.

“Antara Januari dan Julai tahun ini, Vietnam mengimport kira-kira 325,000 tan minyak dan produk minyak sawit Malaysia, iaitu 22% lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2018,” kata Lee.

Beliau mengunjurkan menjelang akhir tahun ini, jumlah eksport negara itu akan mencecah angka 500,000 tan.’

“Kita jangka ia akan berkembang kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam adalah tinggi antara 7% ke 8%,” katanya.

Vietnam menduduki tangga ke-8 dalam senarai 10 negara pengimport utama minyak sawit Malaysia. Komoditi itu digunakan secara meluas dalam pengeluaran pelbagai produk, termasuk kosmetik, farmaseutikal, makanan dan produk penjagaan peribadi.

Dalam ucapan perasmiannya hari ini, Teresa mengalu-alukan hubungan kukuh perdagangan antara Malaysia dengan Vietnam, dengan berkata, negara itu juga merupakan destinasi ke-8 terbesar eksport Malaysia berjumlah RM34.21 bilion tahun lepas.

“Pemain industri minyak dan lemak Malaysia dan Vietnam harus mengadakan lebih banyak inisiatif kerjasama bagi memperkukuh hubungan perdagangan komoditi berharga ini.

“Selain itu, wujud keperluan untuk pemegang taruh dalam industri mnya dan lemak ini bekerjasama untuk memenuhi permintaan pengguna di Vietnam,” katanya.

Teresa berkata, wujud peluang meluas bagi sektor swasta di Malaysia dan Vietnam untuk mengembangkan perniagaan minyak makan dan minyak sawit, selain mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negara itu kerana terus menyokong industri minyak sawit.