Tip buat bakal pengantin elak terperangkap bebanan hutang

Perkahwinan satu perkara indah yang seharusnya dirancang dengan baik oleh semua pasangan.

Ini kerana ia adalah satu sejarah terindah yang hanya akan berlaku sekali seumur hidup.

Dan bagi setiap pasangan yang memutuskan untuk berkahwin perlu memikirkan pelbagai aspek supaya tidak mengganggu pelbagai pihak.

Ia termasuklah dari aspek kedudukan kewangan dan persediaan untuk hidup selepas berkahwin.

Sangat tidak wajar jika semata-mata hanya untuk mengikut trend terkini kononnya hendak dapat gelaran “wedding of the year” sehingga terpaksa berhutang keliling pinggang.

Prihatin akan masalah yang sering dihadapi pasangan yang hendak berkahwin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil inisiatif melalui kempen program “I Do You Do Duit Together”.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata kelemahan pengurusan kewangan sering kali menjadi punca pasangan yang baru mendirikan rumahtangga menghadapi masalah kewangan sehingga ada yang menyebabkan mereka hidup di bawah paras kemiskinan.

“Melalui kempen program dan modul praperkahwinan ‘I Do You Do Duit Together’, kami harap bakal pengantin boleh mendapatkan panduan dan nasihat mengenai pengurusan kewangan dalam perkahwinan mereka terutama selepas perkahwinan,” katanya kepada media selepas melancarkan Modul dan Kempen Pembelajaran Atas Talian Pra-Perkahwinan AKPK “I Do You Do Duit Together” hari ini.

Yeoh berkata laman sesawang yang dibangunkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu boleh dijadikan platform bagi pasangan pengantin mendapatkan ilmu mengenai pengurusan kewangan.

“Modul ini diadakan secara dalam talian dan mereka hanya perlu menjawab soalan-soalan yang disediakan pada bila-bila masa dan lebih menarik ia diprogram secara interaktif. Melalui jawapan yang diberikan, ia boleh dijadikan panduan dalam menguruskan kewangan selepas berkahwin.

“Jadi, pasangan pengantin yang berdepan kekangan waktu dan lokasi, tidak perlu hadir atau membuat temu janji dengan pegawai bagi mendapatkan nasihat kewangan. Ini juga disebabkan kita faham, soal hutang sangat sensitif,” jelasnya.

Yeoh berkata modul praperkahwinan secara dalam talian itu juga bertujuan mendidik bakal pengantin memahami kedudukan kewangan mereka selepas perkahwinan dan paling utama, tidak mahu mereka melakukan pembaziran untuk majlis keraian dan terpaksa menanggung hutang yang berpanjangan.

Ditanya sama ada perlu bakal pengantin menyediakan laporan kewangan daripada AKPK atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) seperti mana laporan ujian HIV sebelum perkahwinan, Yeoh menyatakan belum tiba masanya untuk melakukan perkara sedemikian.

“Walaupun kadar penceraian disebabkan kewangan berada di kedudukan lima faktor teratas, laporan itu (kewangan) tidak perlu memandangkan kita sedang berusaha menyediakan segala platform yang bersesuaian bagi bakal pengantin diberi pendedahan mengenai pengurusan wang terutama selepas perkahwinan.

“Kita harap, semua platform sedia ada termasuk modul praperkahwinan “I Do You Do Duit Together” dan [email protected] LPPKN mampu membantu bakal pengantin terutama mereka yang masih muda tidak terjebak dalam hutang yang membebankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azzaddin Ngah Tasir berkata bagi menarik bakal pengantin dan orang ramai menggunakan modul berkenaan, AKPK mengadakan satu siri pertandingan yang berlangsung sepanjang 10 bulan bermula hari ini.

“Peserta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM27,000 bagi kategori individu dan RM12,000 untuk kategori NGO dan swasta.

“Peserta hanya perlu menghantar slogan menarik dengan syarat menyertakan nombor sijil penyertaan modul pembelajaran yang diperoleh selepas tamat sesi ketika menghantar slogan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]