Warga emas bawa grab sara suami sakit kronik dan anak OKU

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Itu perumpamaan yang dapat digambarkan dengan nasib seorang warga emas yang terpaksa mencari rezeki sebagai pemandu Grab demi menyara suaminya menghidap kanser kronik dan anak dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kisah mengenai warga emas dalam 60-an ini dikongsikan oleh personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya, di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Perkongsian tersebut viral dan sehingga kini menerima lebih 9,300 “like” dan 5,400 “share” daripada netizen.

Dalam pada itu, seorang netizen yang mengenali pemandu Grab itu memberitahu, wanita yang dikenali sebagai Misnah Chuminin itu merupakan seorang yang tabah dan penyabar serta sentiasa berusaha mencari rezeki tanpa meminta dengan orang lain.

Sementara itu, Ahmad Fedtri menyeru mereka yang menggunakan khidmat Puan Misnah agar menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban beliau menyara suami dan anak-anak.

Seorang netizen Puteri Maori meninggalkan komen “semoga setiap ujian dan kesabaran yang dilalui makcik ini dibalas syurga di akhirat nanti. Semoga makcik ini dimurahkan rezeki seluar lautan.. amin”.

Selain itu netizen lain, Neng EffaLyn pula menulis “terima kasih atas doa kalian, saya memang benar-benar kenal dan rapat dengan beliau.. beliau seorang ibu yang tabah mengharungi kehidupannya.. beliau memang ibu yang penyabar.. semoga Allah melindungi dan melimpahi rezeki pada makcik saya ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]