200 sekolah, IPT di Tangkak dan Muar ditutup esok

TANGKAK: Semua institusi pengajian tinggi (IPT) dan kira-kira 220 sekolah di sini dan Muar ditutup esok kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan tahap sangat tidak sihat iaitu melebihi 200 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata penutupan itu melibatkan 129 sekolah di sini dan 89 di Muar.

Turut terlibat ialah IPT antaranya kolej matrikulasi.

“Penutupan ini melibatkan lebih 40,000 pelajar sekolah dan kita minta ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak benarkan berada di luar sepanjang masa.

“Bagaimanapun semua pengetua, guru besar, guru dan petugas sekolah lain bertugas seperti biasa esok,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kira-kira 50,000 topeng penutup hidung dan mulut kepada sekolah di Tangkak dan Muar di sini hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di sini mula mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 203 pada 7 pagi tadi, dan mencatat bacaan 208 pada 5 petang ini.

Aminolhuda berkata pihaknya akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memantau tahap kualiti udara dan sekolah serta IPT tersebut akan dibuka semula setelah kualiti udara bertambah baik.