Himpunan Umno-PAS tak ubah haluan PH, kata Pemuda

Dari kiri: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How dan Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzah.

PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata Himpunan Penyatuan Ummah yang dianjur Umno-PAS hari ini tidak mengubah haluan dan perjuangan PH, di sebalik jumlah kehadiran yang tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra – premis yang sinonim dengan Umno.

Pemuda PH menambah mereka juga tidak hairan dengan penggabungan dua parti Melayu-Islam terbesar itu.

Ini kerana PH merupakan satu pakatan majmuk, yang terdiri daripada rakyat pelbagai keturunan, agama, budaya dan wilayah.

“Kepelbagaian dan kemajmukan inilah kekuatan dan kehebatan kita. Abaikanlah perihal parti-parti pembangkang dan tumpukan perhatian kepada prestasi PH,” kata Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How dan Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzah.

Mereka berkata demikian dalam kenyataan bersama dikeluarkan sejurus berakhirnya perhimpunan itu, yang menyaksikan Piagam Muafakat Nasional dimeterai.

Pemuda PH menambah kerjasama Umno dan PAS sebenarnya bukan perkara baru dalam politik negara.

“Janganlah dibazirkan masa dan tenaga berbicara soal dan isu parti lain,” katanya.

Sejarah baru dalam landskap politik negara tercipta apabila 2 parti politik terbesar orang Melayu iaitu PAS dan Umno hari ini secara rasmi menjalinkan kerjasama.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi menandatangani piagam kerjasama politik selepas lebih 60 tahun menjadi seteru sambil disaksikan ribuan penyokong kedua-dua parti pada acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Laungan takbir turut bergema selepas PAS dan Umno memeterai piagam kerjasama politik itu secara rasmi. Turut menyaksikan penyatuan itu rakan komponen BN dan Gagasan Sejahtera.