Indonesia bebas siasat dakwaan 4 syarikat Malaysia punca jerebu, kata Bee Yin

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia bebas menyiasat 4 syarikat Malaysia yang didakwa menjadi punca jerebu yang melanda rantau ini kini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, Indonesia juga boleh menyiasat dan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sesuai jika perlu.

“Bagaimanapun saya rasa lebih banyak syarikat di Indonesia terlibat. Menurut laporan ada 30 syarikat terlibat.

“Kita percaya Indonesia perlu lakukan apa-apa sahaja yang perlu untuk siasat dan ambil tindakan. Itu tanah mereka, mereka ada kuasa,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 oleh Mahathir di Perdana Putra di sini, hari ini.

Semalam, Indonesia menyalahkan 4 syarikat dari Malaysia sebagai punca kebakaran hutan di negara itu yang membawa kepada jerebu.

Malaysia berkata, Indonesia perlu bertanggungjawab ke atas kejadian jerebu yang mengakibatkan kualiti udara jatuh ke tahap tidak sihat di beberapa kawasan di negara ini.

Indonesia menafikan dakwaan itu dengan mendakwa kebakaran yang berlaku di Malaysia menyebabkan pencemaran itu.

Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak mendapat gambaran sebenar mengenai kebakaran yang menjejaskan Sumatera dan Borneo sejak lebih sebulan lalu.

Sekurang-kurangnya 4 syarikat perladangan sawit yang disita kerana menyebabkan kebakaran terbuka merupakan syarikat Malaysia, kata Siti Nurbaya kepada Reuters.

Dalam pada itu, Yeo berkata Malaysia bersedia memberi pertolongan untuk memadam kebakaran yang berlaku di Indonesia.

“Kita akan hulurkan sokongan kepada mereka. Paling penting pihak Indonesia benarkan. Kalau kita boleh masuk, semua perlu padamkan kebakaran yang berlaku dengan segera.

“Itu adalah keutamaan sekarang bagi mengatasi masalah jerebu,” katanya.