Jerebu semakin kritikal, apa harus anda lakukan?

Jerebu yang melanda negara kini semakin teruk malah menjejaskan kesihatan orang ramai.

Jika kita sedar, ramai juga di sekeliling kita mula cepat batuk, bersin, pedih mata, asma dan sukar untuk bernafas.

Ia merupakan kesan awal yang boleh dihidapi sesetengah individu berikutan isu jerebu yang semakin kritikal.

Dalam jangka pendek ini juga, jerebu boleh menyebabkan mata berair, hidung berair dan sakit tekak pada individu yang sihat.

Selain itu terdapat perkara lain yang boleh anda alami :

  1. Jantung dan paru-paru terjejas terutamanya oleh partikel dalam jerebu dan sekaligus meningkatkan risiko untuk individu yang mempunyai masalah jantung. Ia mungkin mengambil masa antara satu hingga tiga hari untuk kesan atau tanda-tanda jerebu dirasai.
  2. Sakit mata, mata berair atau konjunktivitis (radang selaput mata).
  3. Hidung berair, hidung tersumbat dan bersin. Tekak kering, sakit tekak dan batuk, kahak.
  4. Sakit kepala, pening, keletihan atau tekanan.
  5. Fungsi paru-paru merosot, menyekat saluran pernafasan, sakit dada, sesak nafas dan radang paru-paru.

Apa yang anda harus lakukan:

  1. Elak aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.
  2. Penganjuran aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihat supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
  3. Banyakkan berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.
  4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.
  5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.
  6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.
  7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari).
  8. Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.
  9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]