Jokowi arah ketua polis, tentera Indonesia tangani kebakaran

Jokowi telah menghubungi menteri hutan dan alam sekitar dan beberapa agensi lain bagi mengarahkan mereka berganding mengatasi kebakaran. (Gambar AFP)

JAKARTA: Presiden Joko Widodo mengarahkan Ketua Polis Nasional Jeneral Tito Karnavian dan Panglima Tentara Indonesia (TNI) Jeneral Hadi Tjahjanto mengambil tindakan bagi menangani kebakaran yang mengakibatkan keadaan berjerebu di rantau ini.

Ketua biro media presiden, Erlin Suastini berkata Jokowi juga telah menghubungi Menteri Hutan dan Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar, Pengerusi Badan Mitigasi Bencana Nasional Doni Monardo dan ketua Badan Meteorologi, Cuaca dan Geofisika (BMKG), Dwikorita Karnawati malam tadi bagi mengarahkan mereka melakukan koordinasi bagi mengatasi isu kebakaran.

Hadi dipetik Tempo berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi ubah suai cuaca atau hujan buatan di kawasan yang dilanda kebakaran hutan.

“Hujan tiruan akan digunakan di Indragiri Hilir, Riau,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan pada Sabtu.

Hadi berkata TNI telah menggunakan pesawat tambahan CN-295 dan Hercules untuk tujuan hujan tiruan pada skala lebih besar.

Beliau dan Tito sebelum ini ada meninjau kawasan dilanda kebakaran.
Sementara itu, ketua BMKG Dwikorita memberitahu hujan dijangka turun di wilayah Riau pada Sabtu.

Pengerusi BNPB Doni Monardo pula menyeru semua pihak terutama pegawai serantau agar berganding menangani fenomena tahunan ini.