Jual MyKad, sijil lahir pengkhianatan besar kepada negara

KUALA LUMPUR: Tindakan menjual kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada warga asing adalah pengkhianatan besar kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam perkara ini.

“Saya telah mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (Ruslin Jusoh) memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan yang membabitkan kes berkenaan atau kes seumpama ini.

“Kementerian bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba mendapatkan sebarang jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah boleh menyalurkannya kepada polis.

Muhyiddin mengulas penahanan 20 individu termasuk pegawai JPN kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan MyKad secara penipuan baru-baru ini.

Pada Khamis, penolong pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar “Datuk” didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.