
KUALA LUMPUR: Sejarah baru dalam landskap politik negara tercipta apabila 2 parti politik terbesar orang Melayu, iaitu PAS dan Umno hari ini secara rasmi menjalinkan kerjasama.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi menandatangani piagam kerjasama politik selepas lebih 60 tahun menjadi seteru sambil disaksikan ribuan penyokong kedua-dua parti pada acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Laungan takbir turut bergema selepas PAS dan Umno memeterai piagam kerjasama politik itu secara rasmi.
Turut menyaksikan penyatuan itu rakan komponen BN dan Gagasan Sejahtera.
Kerjasama antara PAS dan Umno sememangnya mula terjalin sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atas dasar kepentingan umat Islam.
Hubungan 2 parti itu bertambah rapat selepas Barisan Nasional (BN) tumbang ditangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, termasuklah menjalinkan kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) menentang parti pemerintah selepas itu sehingga membawa kepada pemeteraian piagam kerjasama hari ini.
Menerusi piagam Muafakat Nasional itu, PAS dan Umno bersetuju menangani isu peminggiran kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Rasional kerjasama itu juga adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Ia juga meliputi agenda pemerkasaan agenda itu secara lebih konkrit, termasuklah menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu ke tahap yang lebih baik.
“Kerjasama yang diadakan antara kedua-dua pihak adalah bertunjangkan 4 prinsip, antaranya persetujuan untuk tidak bersaing antara satu sama lain, sebaliknya bermuafakat demi matlamat negara.
“Menyokong calon dari Umno dan PAS dan sekaligus BN dan Gagasan Sejahtera (GS) dalam semua pilihan raya kecil dan pilihan raya umum, termasuk perkongsian sumber antara Umno dan PAS serta BN dan GS,” merujuk intipati piagam kerjasama itu.
Selain itu, prinsip asas kerjasama itu juga ialah PAS dan Umno bersetuju kerjasama 2 parti itu perlu melibatkan semua rakan komponen BN dan GS.
Kerjasama 2 itu turut mengambil kira Malaysia sebagai negara majmuk dan berbilang agama, bangsa dan budaya.
Menerusi Muafakat Nasional itu juga, PAS dan Umno akan membentuk jawatankuasa perunding yang akan dipengerusikan timbalan presiden kedua-dua parti bagi memastikan kelancaran kerjasama, termasuk dalam pembentukan dasar bersama.
Acara menandatangani piagam Muafakat Nasional turut disaksikan Setiausa Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Umno, Annuar Muda serta pimpinan utama kedua-dua parti.
Pada saat perjanjian itu ditandatangani, penyokong PAS dan Umno menyanyikan lagu “Teman Sejati” nyanyian kumpulan Brothers.
Piagam itu kemudiannya dimasyhurkan oleh Takiyuddin dan Annuar dalam nada sebak.
Ketika ini, BN-Umno memiliki 38 kerusi Parlimen, manakala PAS 18 kerusi. BN-Umno juga menguasai kerajaan negeri Pahang dan Perlis, manakala PAS mengetuai kerajaan di Kelantan dan Terengganu.
PAS dan Umno pernah bekerjasama dalam kerajaan campuran selepas pilihan raya umum 1969.
Kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan kemasukan PAS ke dalam BN. Selepas menang 14 kerusi Parlimen dalam PRU 1974, pemimpin PAS diberikan jawatan dalam Kabinet dan beberapa portfolio penting dalam kerajaan.
Presiden PAS ketika itu, Mohd Asri Muda dilantik sebagai menteri tanah, galian dan tugas-tugas khas, manakala Yusuf Rawa diamanahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran.
Kerjasama itu bagaimanapun gagal dipertahankan dan PAS akhirnya keluar BN pada 1978. Banyak faktor menyumbang kepada perpecahan ini.
Dalam pada itu, PAS juga pernah berkerjasama dengan parti pembangkanglain seperti PKR pada 1998 dengan nama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (PR) yang turut melibatkan DAP sehingga PRU13.