Majlis Profesor UMT tolak cadangan gabung UMT-UniSZA

Majlis Profesor UMT berkata, universiti itu mempunyai perancangan rapi bagi mencapai visi untuk menjadi universiti tersohor dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

PETALING JAYA: Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Majlis berkenaan yang merupakan badan yang hampir kesemua ahlinya merupakan ahli Senat UMT berkata, visi dan misi kedua-dua universiti itu berbeza.

“Kami berpandangan bahawa UMT dan UniSZA tidak mempunyai banyak pertindihan dari segi bidang pengkhususan dan kebitaraan untuk digabungkan, selain daripada faktor jarak fizikal antara kedua-dua universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet pada 4 September lalu dilaporkan bersetuju pada dasarnya dengan langkah penggabungan itu yang bertujuan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Dalam pada itu, Majlis Profesor UMT berkata, UMT mempunyai perancangan yang rapi bagi mencapai visi untuk menjadi universiti yang tersohor dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

Katanya, Pelan Strategik UMT 2018-2022 yang mempunyai 8 teras utama akan memastikan UMT mampu melonjak sebagai universiti yang tersohor dalam tujahan itu.

“Lapan teras itu, iaitu penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, bakat, pembangunan pelajar, pemindahan ilmu dan jaringan industri, pengantarabangsaan, citra dan kelestarian kewangan.

“Berkaitan dengan prestasi dan pencapaian UMT, QS Ranking Asia bagi universiti adalah 291-300 dan untuk penarafan SETARA 2017, UMT mencapai tahap 5 bintang,” katanya.

Majlis itu juga berpandangan sebarang keputusan mengenai penggabungan haruslah dibuat berasaskan kajian menyeluruh serta mengambil kira pandangan kesemua pemegang taruh termasuk pelajar, staf, alumni, ibu-bapa, komuniti, kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan lain.

Katanya, ini akan dapat memastikan keputusan yang adil dan saksama dapat dicapai dan tidak ada pihak yang dipinggirkan.

“Atas sebab perbezaan hala tuju antara kedua-dua universiti dan tiadanya kajian impak yg menyeluruh mengenai impak penggabungan ini, maka kami sebagai Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan di antara kedua-dua universiti ini,” kata kenyataan itu lagi.