Pakatan PAS-Umno boleh ancam PH

KUALA LUMPUR: Pakatan antara dua parti terbesar boleh memberi cabaran besar pada gabungan pelbagai kaum pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang cuba meraih sokongan daripada masyarakat majoriti Melayu-Islam.

Umno, parti terbesar dalam gabungan yang memerintah negara selama 6 dekad sebelum disingkirkan tahun lepas, dan PAS memeterai piagam yang merasmikan gabungan mereka hari ini.

Apabila bergabung, mereka menguasai suku daripada kerusi di Parlimen, manakala gabungan Dr Mahathir menguasai lebih daripada separuh.

Pakatan PAS-Umno itu kemungkinan besar membawa kepada pembentukan gabungan rasmi sebelum pilihan raya umum pada 2023 dan boleh memberi “ancaman” pada kerajaan, kata Ahmad Martadha Mohamed, seorang prof madya di Universiti Utara Malaysia.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kita mungkin akan nampak kerajaan mengumumkan dasar-dasar bagi menambahbaik kehidupan orang Melayu untuk meraih sokongan,” katanya.

Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada Mei lepas dengan janji membanteras rasuah dan beralih daripada dasar-dasar berasaskan kaum.

Ketidakpuasan hati terhadap dakwaan peranan Najib Razak dalam skandal 1MDB mendorong sebahagian rakyat mengundi untuk Mahathir.

Kini gabungan itu perlu mendapatkan sokongan secukupnya daripada orang Melayu yang membentuk 70% daripada penduduk.

“Kebimbangan sekarang adalah kerajaan mungkin berundur daripada reformasi-reformasi politik yang penting atau sama sekali mengabaikan idea-idea progresif untuk memuaskan hati masyarakat majoriti,” kata Adib Zalkapli, seorang pengarah di BowerGroupAsia di Malaysia.

“Sementara itu, pakatan PAS-Umno menjejaskan Barisan Nasional yang berbilang kaum, jadi ini mungkin menyukarkan pemulihan BN. Mereka mengambil risiko yang besar.”

Bagaimanapun, pakatan PAS dan Umno jika menjadi pakatan pilihan raya mungkin membawa Malaysia ke arah sistem 2 parti dengan semak dan imbang yang mantap, kata Ahmad Martadha.

“Ia mungkin petanda kematangan politik Malaysia,” katanya.