Penyokong PAS, Umno ‘putihkan’ PWTC dalam suasana jerebu

KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong PAS dan Umno mula memenuhi pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyaksikan detik bersejarah menandatangani piagam kerjasama politik rasmi 2 parti politik itu.

Tinjauan FMT mendapati ruang legar di seluruh bahagian dalam PWTC menyaksikan “lautan putih” sehingga melimpah ke luar bangunan walaupun jerebu menyelubungi udara.

Pelbagai kumpulan masyarakat kelihatan menghadiri himpunan penyatuan 2 parti Melayu terbesar itu.

Keadaan jalan raya di sekitar juga mula sesak sejak 6.30 pagi berdasarkan maklumat yang diberikan pihak keselamatan.

Selain pihak polis, kawasan persekitaran turut dikawal oleh petugas keselamatan Umno dan PAS, iaitu Jabatan Amal dan Skuad Sabil.

Turut hadir parti komponen BN dan Gagasan Sejahtera.

Seorang ahli PAS Abdul Majid Rahman, 65, ketika ditemui berkata, ini pertama kali beliau menjejakkan kaki di PWTC, bangunan keramat Umno, yang selama ini merupakan “lubuk lawan” baginya.

“Saya ahli PAS. Seumur hidup saya tidak pernah jejak kaki di PWTC ni. Dulu masa kita bermusuh, saya kata, ‘aku tidak akan jejak kaki di tempat Umno ini’, tapi Tuhan Maha Mengetahui, Dia satukan kami,” katanya yang mengaku berjuang bersama PAS lebih 40 tahun.

Sementara itu, Mohamad Isa, 59, berkata, dia teruja melihat orang Melayu ini bersatu dan menganggap doanya selama ini termakbul.

“Saya penyokong Umno, sudah lama saya mahu lihat penyatuan ini. Tiap-tiap hari saya berdoa supaya PAS dan Umno bersatu.

“Bagi saya kekalahan BN dalam pilihan raya lepas merupakan hikmah. Saya rasa kalau Umno tidak kalah, penyatuab ini tidak akan berlaku,” katanya yang berasal dari Johor.

Bagi Abdul Majid, 60, pula, beliau tidak menganggap himpunan kali ini bertujuan meraikan kejayaan, sebaliknya merupakan permulaan kepada Umno dan PAS untuk bekerja lebih kuat di peringkat akar umbi.

“Selepas ini, Umno dan PAS kena mula kerja dari akar umbi. Tarik seberapa ramai penyokong, sama ada orang Melayu atau bukan Melayu dengan memberi penerangan yang betul.

“Jangan lepas ini balik e kawasan, goyang kaki. Kerja tidak buat. Ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Sementara itu, Ramlah Musa, 51, yang juga merupakan ahli keluarga tragedi Memali ketika ditemui mengakui pada awalnya beliau sukar menerima kerjasama antara PAS dengan Umno.

“Bagaimanapun saya lihat penyatuan ini perlu kerana ia perkara lebih besar kerana kedudukan orang Melayu dan Islam ketika ini dicabar.

“Kita tidak ada pilihan selain bekerjasama dengan Umno, lagipun tragedi itu berlaku ketika ketua kerajaan sekarang menjadi perdana menteri.

“Jadi tidak ada isu, kita maafkan Umno, tapi tidak maafkan perdana menteri ketika tragedi Memali dhulu selagi beliau tidak mohon maaf kepada kami,” katanya.

Siti Mastura Musa, 29 berkata, kehadirannya ke PWTC adalah untuk menunjukkan orang muda juga menyokong penyatuan orang Melayu.

“Kami kecewa dengan kerajaan hari ini. Apa-apa yang ditawarkan masa pilihan raya dahulu gagal dilaksanakan. Bagi kami ini peluang dan cara kami untuk suarakan rasa tidak puas hati,” katanya.

Diifahamkan kerjasama PAS-Umno bertujuan meperkukuhkan kedududukan orang Melayu dan Islam di samping mengambil kira Malaysia sebagai negara majmuk dan berbilang agama, bangsa dan budaya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dijangka menandatangani piagam yang akan menggariskan bentuk dan tatakelola kerjasama itu pada acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah tengah hari ini.