Perlu selaras semula dasar ekonomi untuk Wawasan Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR: Kertas Wawasan Kemakmuran Bersama yang dibentang oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mendapati wujud keperluan untuk menyelaras semula dasar ekonomi semasa bagi menghasilkan kemakmuran serta menangani cabaran global.

Kementerian dalam kenyataan hari ini berkata wawasan tersebut yang merangkumi tempoh 2021-2030 merupakan iltizam untuk memacu ekonomi dengan rancak dan mampan.

Ia juga bertujuan menyediakan taraf hidup yang makmur kepada semua rakyat menjelang 2030. Komitmen ini akan menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat dan mengukuhkan kestabilan politik.

“Untuk mencapai matlamat tersebut, ekonomi akan distruktur semula ke arah lebih progresif dengan berpaksikan kepada penggunaan teknologi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan.

“Tumpuan akan diberikan kepada sumber-sumber pertumbuhan baru yang merangkumi ekonomi digital, aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Kempat (IR4.0),” tambahnya.

Industri-industri sedia ada yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi akan diberi rangsangan baru.

“Kesan kejayaan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

“Ini akan memastikan nasib semua rakyat terbela dan tiada yang tercicir di dalam arus kemajuan negara,” kata kementerian.

Kabinet hari ini bersidang selama 3 jam dan bersetuju untuk menerima wawasan ini sebagai dasar baru yang memacu pertumbuhan yang mampan, berteknologi tinggi, inklusif serta menjamin pengagihan yang adil dan saksama bagi merapatkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi.

Kerajaan yakin Wawasan Kemakmuran Bersama apabila direalisasikan nanti akan melonjakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi serantau.