Pertubuhan peladang rancang gabung sawah di Kedah, Kelantan

MARAN: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berhasrat mewujudkan estet padi yang dapat membantu peladang meningkatkan pendapatan dan menambah pengeluaran beras negara untuk jangka masa panjang.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata pelan perniagaan sedang dalam proses penyediaan dan dijangka dapat direalisasikan pada tahun depan.

“Untuk peringkat awal, Nafas merancang mewujudkan estet ini di Kedah dan Kelantan, dengan cara pemilik sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menggabungkan sawah bersaiz kecil.

“Kita akan pilih kawasan yang sesuai dan berharap dapat kerjasama pemilik sawah, yang mana mereka boleh memilih untuk bekerja bawah seliaan kita atau menyerahkan pengurusan sawah kepada Nafas untuk dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kasih Peladang Pahang di Akademi Usahawan Tani Pahang di Kampung Awah hari ini.

Phahrolrazi berkata Nafas memberi jaminan pemilik sawah akan memperoleh pendapatan yang lebih banyak apabila terlibat dalam pelaksanaan estet padi berbanding dengan mengusahakannya secara bersendirian.

“Untuk menjadikan pengurusan sesuatu sawah padi itu lebih ekonomi, ia perlu sekurang-kurangnya seluas lima hektar.

“Subsidi kerajaan dari aspek baja dan sebagainya akan diteruskan dalam pelaksanaan estet ini dan kita juga mahu peladang terlibat secara lebih holistik termasuk penggunaan jentera bagi menuai dan pengilangan padi,” katanya.