Piagam Muafakat garis 5 teras, Umno-PAS janji ‘citra dan tawaran baru’

Ahli-ahli Umno dan PAS membanjiri Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra mendengar ucapan pemimpin mereka pada Himpunan Penyatuan Ummah.

PETALING JAYA: Piagam Muafakat Nasional antara Umno-PAS yang dimeterai hari ini menggariskan 5 teras, termasuk janji mahu mengusahakan secara kolektif satu “citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik.”

Selain itu teras tersebut turut merangkumi janji mahu menawarkan pendekatan dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Dengan menggambarkan teras-teras itu sebagai “kewajipan”, 4 teras lain Piagam Muafakat Nasional adalah:

  • menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara
  • Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara
  • Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
  • Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Bagaimanapun kandungan yang diedarkan kepada media selepas majlis memeterai tengah hari tadi menunjukkan ia lebih ringkas berbanding draf yang dilihat FMT beberapa hari lalu.

Draf awal piagam secara asasnya menyentuh isu perkongsian sumber gabungan masing-masing dan sinergi tindakan kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu ke atas satu-satu isu dan kes.

FMT mendapati draf disediakan Julai lalu itu antaranya menyebut tentang prinsip, struktur, dan modus operandi kerjasama, dan penubuhan 4 jawatankuasa penting yang akan mengatur, memperjelas dan mengembangkan kerjasama itu.

Piagam dimeterai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, sekali gus menandakan usaha ke arah kerjasama kukuh antara kedua-dua parti yang bermusuhan lebih lima dekad selepas membentuk pakatan pada 1974 di bawah Barisan Nasional.

Barisan kepimpinan Umno dan PAS.

Seorang pemimpin PAS memberitahu piagam dimeterai Hadi dan Zahid hari ini dan ringkasan yang diedarkan kepada media itu muktamad.

“Mungkin draf yang versi Julai itu akan ada penambahbaikan. Selepas ini kedua-dua parti akan memperhalusi lagi piagam yang telah dimeterai,” katanya.

Semakan FMT mengesahkan kerjasama antara Umno dan PAS berbentuk persefahaman bersama dan merangkumi semua anggota komponen Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera, yang harus dibangun secara organik dan anjal.

Kerjasama bertunjangkan 4 prinsip iaitu “persetujuan untuk tidak bersaing antara satu sama lain”, “menyokong calon Umno dan PAS dan sekali gus BN dan GS (Gagasan Sejahtera) dalam semua pilihan raya,” dan “perkongsian sumber antara Umno dan PAS dan sekali gus BN dan GS”.

Dari segi struktur dan modus operandi, deraf memberitahu Majlis Tertinggi Umno dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merupakan badan pemutus dasar tertinggi dalam kerjasama itu.

Satu Sekretariat Bersama akan diwujudkan bagi menyelaras pentadbiran harian, mesyuarat dan pelaksanaan program, serta penyediaan kertas kerja.

Empat jawatankuasa penting sepatutnya ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perunding, Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Penyelaras Program dan Jawatankuasa Pelaksana Program.

Jawatankuasa Perunding akan dipengerusikan oleh timbalan presiden Umno dan PAS, yang akan mengesyorkan dasar dan memutuskan pelaksanaan gerak kerja dan aktiviti bersama. Ia juga akan membincangkan dan mengesyorkan cadangan berkaitan hal ehwal pilihan raya, yang tertakluk kepada keputusan presiden parti masing-masing.

“Jawatankuasa Perunding bolehlah membuat dan meminda dari semasa ke semasa peruntukan mengenai kuasa membuat pilihan, kaedah penyelesaian konflik, kaedah mengekalkan kepercayaan, perkongsian tanggungjawab, komunikasi yang baik dan terjamin, dan perkongsian sumber antara kedua-dua pihak,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan.

Jawatankuasa Teknikal pula ditugaskan untuk menyediakan rangka kerja kerjasama, membincangkan pelaksanaan keputusan Jawatankuasa Perunding dan memutuskan pengagihan sumber untuk merealisasikan kerjasama kedua-dua pihak.

Jawatankuasa Penyelaras Program ditubuhkan di peringkat negeri, bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan keputusan Jawatankuasa Perunding, manakala Jawatankuasa Pelaksana Program ditubuhkan di peringkat bahagian bagi melaksanakan keputusan Jawatankuasa Perunding.

Mereka dibenarkan untuk meneroka kerjasama untuk bertindak secara sinergi atas isu dan kes tempatan, dan melaksanakan program yang merapatkan hubungan antara ahli kedua-dua parti.

Selain itu, suatu Jawatankuasa Kerjasama juga akan dibentuk di peringkat wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Terdahulu, Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Piagam menggariskan 6 hasrat utama Piagam Muafakat Nasional.

Perkara tersebut terdiri daripada akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Bercakap pada sidang media kemudian, Zahid berkata piagam yang dimeterai hari ini akan diperhalusi dan diperincikan lagi oleh jawatankuasa perunding dan teknikal.

“Insya-Allah, kepimpinan kedua-dua parti apabila tiba masanya kelak akan mengumumkan sesuatu bentuk yang secara rasmi sebagai sebuah harakah (gerakan) politik,” katanya.