Anak Osama bin Laden terbunuh dalam serangan AS

Foto diedar menerusi akaun Twitter Jabatan Negara AS bagi mengumumkan ganjaran AS$1 juta ke atas Hamza bin Laden. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Hamza bin Laden, anak pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden dan juga seorang pemimpin kumpulan itu, terbunuh dalam operasi Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Donald Trump pada Sabtu.

Dalam kenyataan dikeluarkan White House, Trump berkata operasi itu diadakan di kawasan Afghanistan-Pakistan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

“Kehilangan Hamza bin Ladin bukan sahaja memberi kesan kepada al-Qaeda dari segi kemahiran kepimpinan yang penting dan hubungan simbolik kepada bapanya, tetapi menjejaskan aktiviti operasi penting kumpulan itu,” kata Trump.

Kumpulan itu dikaitkan dengan serangan 11 September 2001.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters Hamza telah dibunuh bulan lalu berhampiran sempadan antara Afghanistan dan Pakistan. Trump diberi taklimat semasa operasi itu.
Kerajaan AS percaya Hamza, yang dikatakan berusia kira-kira 30 tahun, telah berjaya menggantikan bapanya sebagai ketua al-Qaeda, kata pegawai itu. Osama bin Laden dibunuh oleh AS pada 2011.

Hamza berada di sebelah bapanya di Afghanistan sebelum serangan 11 September ke AS. Dia juga meluangkan masa bersama ayahnya di Pakistan selepas pencerobohan Afghanistan yang diketuai AS di sana, menurut Institusi Brookings.

Jabatan Negara AS melabel Hamza sebagai pengganas global pada 2017 selepas dia menggesa tindakan keganasan di ibu kota negara-negara Barat dan mengancam untuk membalas dendam terhadap AS kerana membunuh bapanya.

Reuters melaporkan pada 31 Julai pegawai AS percaya Hamza terbunuh. Tetapi kenyataan pengesahan Trump pada Sabtu adalah kali pertama dibuat oleh kerajaan AS.
Tidak jelas mengapa White House baru memutuskan untuk menyiarkan maklumat mengenai kematian Hamza.

Jabatan Negara dan Pejabat Pengarah Perisikan Negara tidak menjawab permintaan untuk komen.