Beban bayaran pencen akan musnahkan negara, kata Zaid

Bekas menteri Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Bekas menteri pusat Zaid Ibrahim memberi amaran tentang risiko kemusnahan ekonomi sekiranya kerajaan dihalang daripada menangani isu pencen dan emolumen kakitangan awam dengan berkesan.

“Tidak ada pilihan lain selain daripada mengatasi masalah itu,” katanya kepada FMT dalam satu komentar terhadap pengumuman kerajaan bahawa ia bercadang untuk melantik pegawai awam secara kontrak bermula tahun depan dan tidak lagi di bawah skim tetap dan berpencen.

Katanya Putrajaya perlu meyakinkan orang ramai bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk terus membayar pencen dan mana-mana skim gantian yang akan diputuskannya telah dikaji dengan teliti.

“Untuk tujuan itu, kita perlukan satu pasukan individu bebas yang berwibawa untuk mengkaji keadaan kewangan kerajaan dan membuat cadangan,” kata beliau.

Zaid juga berkata, isu itu boleh menyukarkan kerajaan dari segi politik, justeru menggesa semua parti politik supaya menyokong Putrajaya mencari penyelesaian kepada masalah itu.

“Jika kita terus mengelak daripada menangani masalah kronik, maka kerosakan yang mungkin berlaku tidak akan dapat dibaiki,” kata beliau.

Bekas pegawai awam, John Anthony Xavier yang kini merupakan felo di Pusat Pengajian Perniagaan (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia memberi amaran dalam satu kolum di akhbar tahun lepas bahawa bayaran pencen kakitangan awam akan mencecah angka RM100 bilion setahun pada 2030.

Baru-baru ini bekas pemimpin kesatuan sekerja AH Ponniah menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk mengkaji rancangan kerajaan melaksanan skim baru bagi menggantikan skim pencen.

Beliau mengakui bahawa keadaan kewangan kerajaan kini tidak memberikannya pilihan lain selain menggantikan skim tersebut, tetapi berkata, kerajaan harus menangguhkan rancangan itu sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.

Bagimanapun, pakar ekonomi dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Ramon Navaratnam berkata, kerajaan tidak perlu menunggu kajian sebuah suruhanjaya diraja untuk membuat keputusan.

“Kekangan kewangan bukanlah satu-satunya isu,” katanya.

“Kita perlu selari dengan amalan pengurusan dan perniagaan moden.

“Kita perlu menamatkan pencen dan bergerak ke sistem kontrak yang menawarkan gaji lebih kompetitif, selain manfaat kerajaan biasa.”

Beliau berkata, peralihan itu akan membolehkan kerajaan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang kini berjumlah 1.7 juta orang.