Cadangan jual rumah mewah kepada warga asing perlu diperhalusi, kata syarikat perunding

Syarikat perunding hartanah Hartabumi.com berkata, kerajaan boleh meletakkan syarat hanya unit kediaman siap dan tidak terjual selepas 9 hingga 12 bulan boleh dijual ke pasaran luar. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Syarikat perunding hartanah Hartabumi.com berkata, isu lambakan rumah tidak terjual bukanah satu perkara yang baru, tetapi kini lebih membimbangkan berikutan peningkatan mendadak masalah itu.

Ketua pegawai eksekutifnya, Radzi Tajudin berkata, nilai stok rumah yang tidak terjual masa ini bernilai sebanyak RM38 bilion, iaitu meningkat 337% sejak tahun 2015.

“Ini bermakna terdapat aset RM38 bilion yang tidak dapat dicairkan dan hanya menjadi batu bata buat masa sekarang.

“Sekiranya RM38 bilion ini dapat dicairkan, ia boleh disuntik ke dalam ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demikian berhubung cadangan kempen menjual rumah kepada pembeli dari China dan Hong Kong yang dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, Zuraida berkata, masalah lambakan kediaman mewah di negara ini adalah tinggalan pentadbiran Najib Razak dan perlu diselesaikan.

Zuraida bercadang menyelesaikan masalah itu dengan melalui kempen menjualnya kepada warga asing, termasuk China dan Hong Kong.

Radzi berkata, jika rancangan itu berjalan, syarikat yang akan dapat memperbaiki aliran tunai mereka, selain membayar hutang kepada pihak ketiga, justeru mengurangkan tekanan kepada syarikat untuk “down-size'” atau terus bungkus.

Radzi Tajudin.

“Sebahagian wang ini juga dapat dilabur kembali bagi membangunkan projek kediaman baru yang memberi manfaat kepada vendor, subkontraktor dan juga konsultan.

“Pekerja juga akan kembali produktif dan kemungkinan berlaku penambahan tenaga kerja. Setidak-tidaknya ia dapat mengelak syarikat membuang pekerja,” katanya.

Radzi berkata, sekiranya syarikat mencatatkan keuntungan, maka kerajaan pula akan mendapat 24% hasil cukai.

Beliau berkata, cadangan untuk mengadakan ekspo jualan rumah ke negara luar seperti China dan Hong Kong pada dasarnya berniat baik.

Katanya, baru-baru ini ekspo syarikat perumahan SP Setia misalnya menerima sambutan luar biasa di Hong Kong dan akan disusuli oleh syarikat Mah Sing dan Pavillion.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu boleh diperhalusi demi mengelakkan masalah lain yang bakal timbul.

“Antaranya KPKT boleh meletakkan syarat hanya unit kediaman yang sudah siap dan masih tidak terjual selepas 9 hingga 12 bulan boleh dijual ke pasaran luar.

“Had harga juga boleh dinaikkan kepada RM2 juta kerana harga RM1 juta apabila ditukar kepada mata dolar AS, hanya bernilai sekitar AS$250,000,” katanya.

Katanya, kemungkinan cadangan KPKT ini hanya bersifat sementara dan “one-off” memandangkan masalah lambakan rumah tidak terjual adalah luar biasa.

Beliau juga berkata KPKT atau kerajaan boleh menimbang idea bagi pembelian rumah yang tidak terjual secara pukal pada harga 20 hingga 40% lebih murah.

Katanya, rumah ini kemudiannya boleh dijual kepada rakyat yang masih tidak mempunyai rumah.