Dewan Merdeka, Piagam Muafakat dan ‘gear’ PRU-15

Pemimpin Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 Sept 2019 di Dewan Merdeka, PWTC.

Sejak 1985, Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi lokasi tetap perhimpunan agung tahunan Umno. Selepas 34 tahun berlalu satu lagi peristiwa disaksikan. Tujuh belas bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dewan Merdeka yang menjadi kemegahan dan kebanggaan Umno pernah mengukir pelbagai detik bersejarah sejak 1985. Pemilihan Umno pertama selepas PWTC dibuka membawa kepada pemilihan yang dilihat paling sengit dalam sejarah Umno. Persaingan Team A dan Team B berakhir dengan perisytiharan sebagai pemilihan tidak sah oleh mahkamah. Umno diharamkan. Umno Baru ditubuhkan, begitu juga Semangat 46.
Semangat 46 mengikat ‘perkahwinan politik’ bersama PAS dan DAP – dua parti utama di Semenanjung ketika itu. Ia berakhir dalam enam tahun kemudian apabila Semangat 46 dibubarkan.

Dewan Merdeka juga menyaksikan pelbagai peristiwa selepas itu. Ini termasuklah ketika perhimpunan susulan PRU 1999, yang pertama selepas Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan, banyak syor dibuat berhubung PAS yang terus mengekalkan Kelantan, yang dimenangi pada 1990, dan pada masa yang sama menguasai Terengganu. Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjadi menteri besar Terengganu manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat kekal menteri besar Kelantan, sehingga 2013. Antara syor diketengahkan perwakilan menggera agar dikaji semula wang royalti minyak kepada Terengganu oleh kerajaan pusat.

Jarak antara ibu pejabat PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sekarang tidak jauh, hanya kira-kira satu kilometer dari Menara Dato Onn dan PWTC.

Semalam ribuan pemimpin dan penyokong kedua-dua Umno dan PAS berhimpun di Dewan Merdeka, sekali gus mengubah ‘wajah’ Dewan Merdeka yang lazimnya berwarna merah dan biru. Persekitaran semalam memberi gambaran sebaliknya – hampir 90% berwarna putih, kemungkinan bagi menggambarkan ‘putih dan suci’ satu perjalanan ikatan politik Umno-PAS. Walaupun merah sinonim dengan Umno dan hijau pula dengan PAS, putih masih menjadi sebahagian warna gabungan bendera kedua-dua parti.

Dewan Merdeka juga pernah menyaksikan peristiwa Buku Jingga Pakatan Rakyat dibuang ke dalam tong sampah oleh seorang pemimpin Umno pusat beberapa bulan sebelum PRU 2013. Ketika itu PAS bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, yang berakhir tiga tahun kemudian. Susulan itu PAS tidak bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan yang ditubuhkan menjelang PRU-15. Ia bertanding bersendirian untuk menjadi ‘king maker’. PAS membuka laluan ke arah kerjasama politik bersama Umno dalam tiga pilihan raya kecil sejak awal tahun ini.

Sehingga semalam Dewan Merdeka hanya mendengar kecaman, kritikan dan syor tindakan balas pemimpin-pemimpin Umno ke atas PAS, yang ditubuhkan lebih enam dekad lalu dan menjadi seteru kepada Umno – parti dominan Barisan Nasional (BN). Semalam lagu PAS didendangkan buat julung kali. Begitu juga bendera PAS dinaikkan dan digenggam kuat bersama bendera Umno di pekarangan Menara Dato Onn dan juga dalam Dewan Merdeka.

Landskap politik berubah

Lebih 10 tahun lalu landskap politik negara menyaksikan buat julung kali bendera PAS dibawa oleh bukan Melayu dan bukan Islam semasa PRU 2008. Semalam, bendera Umno pula dibawa oleh ahli PAS dan ahli Umno mengibarkan bendera PAS. Ini realiti politik hari ini. Persoalan sekarang bagaimana ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi semasa PRU-15.

Umno dan PAS memeterai perjanjian kerjasama dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional. Ditandatangani kedua-dua presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi bagi Umno dan Abdul Hadi Awang mewakili PAS bersempena Himpunan Penyatuan Ummah di pentas utama Dewan Merdeka. Piagam itu yang merupakan satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang, menggariskan lima teras.

Ahli-ahli Umno dan PAS mengibarkan bendera kedua-dua parti pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka.

Dalam ulasannya menerusi Twitter lewat petang semalam, Zahid menulis: “Terima kasih kepada Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang atas iltizam hingga Piagam Muafakat Nasional direalisasikan. Secara peribadi saya dan pimpinan Umno amat menghargainya.”

Sebelum itu, Hadi pula menerusi Twitter berkongsi intipati ucapan beliau, antaranya berbunyi: “Kini kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu.”

Umno dan PAS sudah pun memulakan langkah bagi menghadapi PRU-15 sebagai satu ikatan yang belum dinamakan lagi. Piagam yang dimeterai semalam menjanjikan “kewajipan” menerusi lima teras. Adakah PAS dan Umno akan menggunakan model kerjasama semasa PRU 1990 masih belum jelas. Pemimpin Umno juga ada tanggungjawab berat untuk menyakinkan MCA dan MIC khususnya dalam isu berkaitan undang-undang Islam dan hudud.

Pemimpin Umno dan PAS memberitahu FMT pihaknya masih menghalusi kerangka praktikal untuk merealisasikan Piagam Muafakat Nasional.

Bekas Menteri besar Perak, Zambry Abdul Kadir, antara pemimpin yang menjadi sasaran PAS semasa masih dalam Pakatan Rakyat dan susulan kejatuhan kerajaan negeri Perak pimpinan mereka pada 2009, berkata “naratifnya (Piagam Muafakat) tidak memusuhi, tiada nada rasis dan kemarahan. Berteras muhasabah dan bagaimana hidup bernegara dalam Malaysia yang unik dengan kepelbagaian agama dan bangsa.”

Sebagaimana disebutkan oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuk, ramai yang menitiskan air mata dan beremosi tatkala menyaksikan permeteraian Piagam Muafakat Nasional yang “menyatukan Umno dan PAS yang berpuluh tahun bersengketa.”

Banyak detik berdrama telah disaksikan di pentas utama Dewan Merdeka semasa dan selepas siri PRU sejak 1990. Apakah episod baru bakal menjelma menjelang PRU-15? Menarik untuk disaksikan bersama.