Gabungan Umno-PAS muncul kerana kejayaan PH, kata Rais Yatim

Pengerusi PPBM Negeri Sembilan Rais Yatim.

JELEBU: Gabungan Umno dan PAS menerusi Piagam Muafakat Nasional disebabkan kedua-dua parti tersebut melihat kejayaan yang dibawa sejak Pakatan Harapan (PH) mula mentadbir negara, kata pengerusi PPBM Negeri Sembilan Rais Yatim.

Beliau berkata, sekiranya PH tidak menang pada pilihan raya umum ke-14 lepas, maka tiada gabungan dimeterai oleh kedua-dua parti berkenaan ketika ini.

“Dalam satu pengertian kemunculan PH mengesa pihak dalam Umno dan PAS untuk mewujudkan satu pakatan. Kalau tiada PH mereka tidak akan bersatu.

“Sesungguhnya gabunggan ini hanya untuk mendapat sokongan rakyat, jadi mereka (Umno-PAS) perlu tunjuk bahawa mereka lebih baik daripada PH.

“Kalau itu dapat dilakukan, maka sebahagian daripada beban mereka akan dapat dipikul dengan baik, jika tidak mereka akan gagal,” katanya selepas menghadriri program Larian Merdeka Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Rais diminta mengulas mengenai pemeteraian perjanjian kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil gabungan kedua-dua parti berkenaan, PH harus menjadikan ia sebagai satu penanda yang baru dalam menambat hati masyarakat di negara ini untuk terus kekal relevan.

“Ini mugkin menjadi satu ‘loceng’ yang baru kepada PH bagi memikir semula apakah dasar dan manifesto yang harus dikaji dan bagaimana menifesto itu berjaya dilaksanakan.

“Saya percaya PH tidak akan berdiam diri, kita akan perbaiki menerusi kaca mata DAP, Amanah, PPBM dan PKR,” katanya.

Umno dan PAS memeterai perjanjian kerjasama itu yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, iaitu Ahmad Zahid Hamid dan Abdul Hadi Awang di PWTC semalam.