GPS selesa bersendirian, tidak sertai kerjasama PAS-Umno, kata Abang Jo

Pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, parti itu mahu memfokus kepada pembangunan Sarawak dan tidak menyertai mana-mana parti dari Semenanjung.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih selesa dan memilih untuk bergerak bersendirian daripada menyertai mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia, kata pengerusinya Abang Johari Openg.

Abang Johari, yang juga ketua menteri Sarawak berkata, mereka sekarang memfokus kepada pembangunan negeri dan ingin memberikan sesuatu kembali kepada rakyat.

“Kami lebih suka bergerak bersendirian. Jika kami jaga rumah kami dengan baik, maka ramai orang akan datang melabur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Centexs-SMA Safari 2019, di sini semalam.

Abang Johari diminta mengulas tentang kerjasama Umno-PAS yang menyaksikan 2 parti Melayu itu menandatangani memorandum kerjasama dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Memorandum itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti terbabit, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang pada satu himpunan melibatkan 2 parti itu di PWTC semalam.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN pada Mei 2018 dan bertindak membentuk GPS.