Guan Eng digesa berhenti salahkan BN kerana gagal tunai janji

Pengasas Movement for Change Sarawak Francis Paul Siah.

KUCHING: Seorang aktivis hak Sarawak berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng sepatutnya berhenti menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan kerajaan menunaikan banyak janjinya kepada negeri itu, sebaliknya wajar menawarkan “alasan lebih kukuh”.

Pengasas Movement for Change Sarawak (MoCS), Francis Paul Siah berkata, rakyat Sarawak telah terlalu kerap mendengar alasan sehingga “ia tidak boleh diterima lagi”.

“Satu soalan penting yang mesti dijawab oleh Lim dan rakan PH ialah: ‘Apakah manifesto pilihan raya umum ke-14 Pakatan Harapan (PH) juga dirangka oleh kerajaan BN sebelum ini?’. Tentu PH sedar tentang hutang besar BN, hatta pada masa itu.

“Jika demikian, kenapa buat janji kosong kepada rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak?” katanya.

Francis berkata, Guan Eng harus menawarkan “alasan lebih kukuh” atas kegagalan menunaikan janji yang dibuat oleh PH.

Beliau berkata, kenyataan menteri kewangan itu berhubung royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak seolah-olah menunjukkan Malaysia tidak boleh hidup tanpa minyak dan gas dari 2 negeri Borneo itu.

“Dengan kata lain, Guan Eng memberitahu rakyat Sabah dan Sarawak bahawa Putrajaya memerlukan hasil minyak dan gas dari negeri mereka untuk membiayai keutamaan lain,” katanya.

Nancy Shukri.

“Mereka menjanjikan (royalti) 20%, tetapi beri hanya 5%. Hari ini rakyat Sarawak berkata: ‘Kenapa berjuang untuk dapatkan hanya 20%, sedangkan ia 100% milik kita?”.

“MoCS mahu mengingatkan Putrajaya bahawa rakyat Sarawak tidak lagi naif seperti ibu bapa kami sebelum ini yang menandatangani MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan membawa Sarawak ke dalam Malaysia.”

Francis berkata, rakyat Sarawak “mengimpikan saat mereka memiliki 100% daripada kekayaan negeri itu”, tanpa perlu berkongsi dengan Semenanjung.

“Ini pesanan kami kepada Putrajaya,” katanya.

Pada Jumaat, Guan Eng berkata, kerajaan mahu menunaikan janjinya memberi 20% royalti minyak kepada Sarawak, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana negara dibebani hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Jumlahnya RM150 bilion. Ia bukan angka kecil. 1MDB dan skandal berkaitannya serta skandal lain bukan 1MDB, semuanya melibatkan dana sebanyak RM150 bilion,” katanya di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata, Guan Eng cuba mencari alasan untuk mengelak daripada membayar wang yang dijanjikan kepada Sarawak.

Beliau bertanya sama ada Guan Eng takut sekiranya Sarawak menjadi kaya dalam sekelip mata jika diberikan haknya.

“Kami tuntut semua yang menjadi hak kami seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kami juga mahu janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 dahulu ditunaikan,” katanya.

Nancy juga mengingatkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa beliau pernah berkata Sarawak tidak perlu mengemis bagi mendapatkan royalti 20% itu sekiranya PH menang pilihan raya.

“Beliau mengulangi kenyataan serupa dalam satu klip video. Semua rekod ini masih ada,” katanya kepada FMT.