Jerebu: Kumpulan cadang Putrajaya bawa Indonesia ke mahkamah untuk RM1

Sekumpulan profesional mahu Malaysia mendapatkan komitmen yang mengikat Indonesia supaya memadam dan mencegah kebakaran.

PETALING JAYA: Sekumpulan profesional mencadangkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Indonesia sebanyak RM1 bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah yang memaksa republik itu mengambil tanggungjawab ke atas kebakaran di wilayahnya.

Langkah itu bagi mendapatkan komitmen yang mengikat Indonesia supaya memadam kebakaran semasa dan mencegah kebakaran di masa depan.

“Kami tidak mencari ketegangan yang keterlaluan, tetapi kami juga sedar akan kegagalan status quo sepanjang 20-25 tahun lalu dan kami mahukan sebanyak mungkin pilihan dasar bagi menyelesaikan krisis jerebu tahunan,” katanya.

“Oleh itu, walaupun nampak drastik, kami percaya tindakan undang-undang ini satu pilihan dasar berdaya maju yang wajar ekoran kegagalan saluran diplomatik biasa dan langkah-langkah lain setiap tahun.”

Kumpulan itu, yang dianggotai peguam, ahli ekonomi, ahli akademi, aktivis sosial dan doktor, berkata cadangan tindakan undang-undang itu harus disertakan dengan tiga penyelesaian lain dalam satu pakej.

Pertama, Malaysia mesti terus menyediakan bantuan teknikal, kewangan dan memadam kebakarqan kepada Indonesia, “atas semangat memakmurkan jiran”.

Kedua, Malaysia mesti mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana syarikat Malaysia yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka di Indonesia, “bagi mengelakkan hipokrasi dan meningkatkan keberkesanan”.

Ketiga, persatuan-persatuan sivil Malaysia mesti bekerjasama dengan persatuan-persatuan sivil Indonesia bagi berkongsi ilmu, sokongan dan platform, “kerana isu rentas sempadan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penyelesaian kerajaan”.

“Malaysia akan membantu, tetapi ia mesti bermula dengan mengakui tanggungjawab,” katanya.

“Kami akui tindakan undang-undang ini boleh mengancam keseimbangan geopolitik di Asean. Kami mahukan tindakan undang-undang yang membina dan bukan sikap yang agresif atau punitif, ini menjelaskan angka simbolik RM1 itu.”

Antara nama-nama yang menandatangani cadangan itu adalah Dr Khor Swee Kheng, felo kanan di Universiti Malaya; Dr Amar Singh-HSS, bekas ketua Jabatan Pediatrik Hospital Ipoh; dan penganalisis di Penang Institute, Darshan Joshi serta 21 orang lain.

Kumpulan itu mencadangkan angka RM1 kerana kesukaran mengira kerugian tepat, dan cubaan mengira secara tepat akan membazirkan tenaga dan mengalihkan pandangan daripada memadamkan kebakaran.

“Meminta ganti rugi berbilion ringgit akan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.