Jerebu: Operasi pembenihan awan di Semenanjung bermula esok

Operasi pembenihan awan di Sarawak Khamis lalu berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas paling terjejas akibat jerebu. (Bernama pic)

GEORGE TOWN: Proses pembenihan awan bagi mengurangkan keadaan jerebu telah dijadualkan esok di negeri di Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc).

Timbalan Menterinya Isnaraissah Munirah Majilis hari ini berkata, proses itu lebih menumpukan perhatian kepada Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari Airport Subang dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada jam 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada jam 11.00 pagi” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk merasmikan program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama di sini.

Isnaraissah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak Khamis lalu berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas menjadi negeri yang paling terjejas akibat jerebu daripada kebakaran terbuka yang berlaku di Kalimantan.

“Pembenihan awan hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Menurutnya selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah ekoran pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri Mestecc Yeo Bee Yin menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ia hanya boleh mengurangkan jerebu sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya.