Guan Eng: Kerajaan tumpu aspek gaji, rapatkan jurang pendapatan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

BUTTERWORTH: Selaras dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, kerajaan akan memberikan penekanan terhadap merapatkan jurang pendapatan dengan melihat beberapa aspek antaranya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pemberian gaji munasabah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata terdapat 2 aspek penting yang harus ditekankan iaitu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pemberian gaji yang munasabah dalam usaha menambah baik kuasa pembelian di kalangan rakyat.

“Dua aspek ini perlu kita lihat dalam usaha merapatkan jurang pendapatan. Kita harus mewujudkan lebih banyak perkerjaan dan gaji munasabah. Kita perlu lihat 2 aspek ini aspek untuk meningkatkan kuasa beli di kalangan rakyat khususnya golongan tidak berada.

“Dalam hal ini gaji lebih munasabah akan memberi kesan yang positif serta membawa impak yang baik dari segi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan dan Gotong Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Guan Eng berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung perancangan Kementerian Kewangan dalam usaha merapatkan jurang pendapatan selaras dengan hasrat yang dizahirkan oleh kerajaan persekutuan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Perdana Putra semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Gaun Eng berkata, dalam usaha menggalakkan peluang pekerjaan, satu cadangan akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen 11 Okt ini.

“Memang ini adalah sesuatu yang akan diutamakan. Ia bukan sahaja dapat merapatkan jurang sosial ekonomi, ia juga boleh menambah pendapatan rakyat.

“Kesemua ini harus dikongsi dan dijana agar kemakmuran ini dirasai bersama sealiran dengan pertumbuhan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada program itu Guan Eng berkata, program Kampungku Sihat yang menekankan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati” adalah sesuatu yang wajar puji.

“Saya berharap dalam jangkamasa panjang , program ini dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam bidang kesihatan.

Gaun Eng berkata, selaku individu yang dipertanggungjawabkan mengurus kewangan kerajaan persekutuan, beliau mengakui tanggungan kerajaan dalam hal kesihatan sangat besar.

“Berdasarkan kepada Belanjawan 2019, Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM28.7 bilion dan ini menjadikan antara yang terbesar dari segi peruntukkan tahunan. Peruntukkan tersebut meningkat kira-kira 8% daripada tahun sebelumnya,” katanya.