Kerjasama Umno-PAS untungkan Najib, Zahid dan penyokong mereka, kata Kadir Jasin

A Kadir Jasin berkata, perhimpunan perpaduan antara Umno dan PAS merupakan ‘kelegaan sementara’ bagi Najib dan Zahid.

PETALING JAYA: Piagam bersejarah yang ditandatangani Umno dan PAS bagi memuktamadkan kerjasama mereka memberi keuntungan kepada Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, kata seorang wartawan veteran.

A Kadir Jasin berkata, beliau pada mulanya menyangka keputusan dibuat 2 parti Melayu terbesar itu datangnya daripada PAS “bagi memanfaatkan peningkatan kesedaran Islam”.

“Bagaimanapun jelas sekarang dengan “ketua” Umno di depan, himpunan perpaduan itu diadakan untuk memberi keuntungan kepada individu ini dan penyokong mereka,” katanya di Facebook.

Beliau merujuk kepada Najib dan Zahid, masing-masing merupakan bekas presiden dan presiden Umno, yang kini berdepan beberapa kes rasuah di mahkamah.

Semalam presiden Umno itu dan rakan sejawatannya daripada PAS, Abdul Hadi Awang menandatangani piagam kerjasama antara 2 parti itu dalam satu perhimpunan besar dihadiri puluhan ribu penyokong kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Bagi Najib dan Zahid serta penyokong fanatk dan pengampu mereka, perhimpunan itu merupakan kelegaan sementara daripada keadaan sebenar, iaitu pendakwaan rasuah yang mereka hadapi,” kata Kadir, yang merupakan penasihat khas media dan komunikasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, PAS “diseret” bagi memberikan keabsahan kepada perhimpunan itu dan sebagai bukti persahabatan rapat antara Hadi dengan Najib.

Bagaimanapun kata Kadir, walaupun Hadi memainkan peranan “pembantu” Najib dan Zahid, PAS mungkin mendapat manfaat daripada kerjasama itu kerana kepimpinan dan akar umbinya yang kukuh.

“Sebelum ini PAS ‘berkahwin’ dengan Umno berikutan pilihan raya umum 1969. Ia menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membuka cawangan parti di kawasan rancangan Felda sehingga menyebabkan Umno kurang senang.

PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada 1977 oleh perdana menteri ketika itu, Hussein Onn.

Namun begitu kata Kadir, Umno kelihatan terus berpecah berhubung kerjasama dengan PAS itu.

Katanya, beberapa pemimpin penting parti itu “jelas tidak kelihatan” dalam perhimpunan tersebut.

Piagam perpaduan PAS-Umno yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional bertujuan memperjuangkan kepentingan orang Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia berikrar untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada “kepimpinan Islam, Melayu dan Bumiputera”.

Kerjasama antara 2 parti itu adalah didasarkan kepada 4 teras, termasuk persetujuan untuk tidak bertanding menentang satu sama lain dan memperjuangkan kepentingan negara.