Kita masih beri subsidi, Dr M jawab kebimbangan kenaikan harga minyak

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Kerajaan masih memberi subsidi bagi menangani kenaikan harga minyak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas media melaporkan harga minyak dijangka naik susulan serangan Houthi terhadap pangkalan minyak Saudi semalam.

Dr Mahathir berkata kalau Arab Saudi terpaksa menghentikan pengeluaran minyak bertapis, walau 1 juta tong minyak pun, sudah tentu ia akan beri kesan pada harga minyak seluruh dunia.

“Di Malaysia, harga minyak RON95 tetap siling RM2.08. Bila harga minyak naik, kita beri subsidi,” katanya pada sidang media selepas Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 hari ini.

Militan Houthi di Yaman mengumumkan ia menyerang 2 kilang di tengah-tengah industri minyak Arab Saudi semalam, menyebabkan lebih separuh output Saudi terhenti. Syarikat minyak kerajaan, Saudi Aramco berkata serangan itu akan mengurangkan output Saudi sebanyak 5.7 juta tong sehari (bpd) atau lebih 5% daripada bekalan minyak sejagat.

Arab Saudi merupakan pengeksport terbesar dunia, menghantar lebih 7 bilion tong minyak sehari ke pelbagai destinasi serata dunia. Serangan sebelum fajar itu menyusuli serangan rentas sempadan ke atas pangkalan-pangkalan minyak dan kapal-kapal minyak di perairan Teluk, tetapi serangan kali ini paling berani, melumpuhkan sebahagian kapasiti pengeluaran Saudi buat sementara.

Sementara itu, Dr Mahathir secara berseloroh memberitahu pemberita rakyat United Kingdom tidak akan merungut jika kerajaan menaikkan cukai bagi menangani kenaikan harga minyak.

“Saya akan kaji, jika anda mahu saya kaji,” katanya.

Jerebu

Sementara itu, Mahathir berkata kerajaan akan menentusahkan sama ada keadaan berjerebu di Malaysia adalah daripada dalam negara.

Perdana menteri berkata pihaknya belum menulis apa-apa kepada rakan sejawat, Presiden Joko Widodo berhubung masalah jerebu.

Beliau berkata Malaysia mahukan satu rancangan jangka masa panjang untuk atasi masalah jerebu tetapi ia memerlukan kerjasama negara-negara lain.

“Selagi kita tidak dapat kerjasama, tidak mungkin kita akan dapat sediakan rancangan itu,” katanya.

Kebakaran di Sumatera dan Kalimantan dalam bulan ini menyebabkan masalah jerebu rentas sempadan. Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar sebagai berkata Malaysia tidak memberikan gambaran objektif mengenai kebakaran yang membawa kepada jerebu di rantau ini, kerana kebakaran juga marak di ladang-ladang milik syarikat Malaysia di Indonesia.