PAS patut bawa RCI Memali, bukan saya, Khalid jawab Najib

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: Khalid Samad berkata PAS sepatutnya membawa isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali 1985, bukannya beliau.

Pengarah komunikasi Amanah itu mendakwa PAS menimbulkan kembali isu ini apabila setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan ketika menjawab pertanyaan pemberita dilaporkan berkata, tragedi Memali, “menjadi kecil” berbanding agenda besar penyatuan ummah dengan Umno melibatkan parti itu ketika ini.

“Suruhlah dia (Najib Razak dan PAS) bawa isu Memali kepada RCI. Kenapa nak suruh saya bawa? Ini PAS yang keluarkan kenyataan. Kami tidak keluarkan kenyataan. PAS keluar kenyataan bahawa isu itu sudah menjadi kecil.

“Kita tidak mahu timbulkan balik isu ini, tetapi jangan bila timbul kamu nak kata benda kecil. Ada banyak pengajaran kita perolehi daripada peristiwa itu.

“Kita tidak mahu tragedi itu berulang. Kalau benda kecil maknanya boleh buat lagi sebab benda kecil. Tak boleh cakap macam itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival Permainan [email protected] Lumpur 2019 di Dataran Merdeka hari ini.

Khalid berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan isu RCI Memali dalam mesyuarat Kabinet, tetapi ia tidak bermakna tragedi tersebut dianggap kecil.

“Walaupun kita tidak mahu bawa dalam Kabinet, tidak bermakna isu itu kecil. Hanya orang yang tidak ada hati perut sahaja kata tragedi memali ini isu kecil. Nak berbaik pun jangan perlekeh apa yang berlaku,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika menjawab kenyataan Najib bahawa beliau tertanya-tanya apakah yang ditunggu oleh PH untuk menubuhkan RCI Memali.

Najib berkata, Khalid pernah berkata bahawa Amanah melihat ada banyak isu dalam kes Memali yang memerlukan penjelasan.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa Khalid berjanji sebuah RCI bagi menyiasat tragedi itu akan diwujudkan jika PH menang pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Najib juga menyarankan agar Khalid bertanya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai peristiwa itu.

“Kan kamu jumpa dia setiap minggu semasa mesyuarat Kabinet?” kata Najib.

Dalam satu sidang media sempena Himpunan Perpaduan Ummah dengan Umno di PWTC pada Jumaat, Takiyuddin, ketika menjawab pertanyaan pemberita sama ada PAS telah memaafkan Umno berhubung tragedi Memali berkata, parti itu yakin keluarga mangsa peristiwa lebih 30 tahun lepas itu sudah memaafkan Umno.

Beliau juga dilaporkan berkata, PAS menganggap peristiwa itu kecil berbanding agenda perpaduan melibatkan 2 parti orang Melayu itu sekarang.

Tragedi Memali berlaku di Kampung Memali, Baling pada November 1985.

Berikutan kejadian itu, 18 orang maut, termasuk Ibrahim Libya, 13 pengikutnya dan 4 orang anggota polis.

Sebagai bekas pemimpin PAS, kematian Ibrahim semakin mengeruhkan hubungan parti tersebut dengan Umno yang menguasai kerajaan ketika itu dan terus menjadi “titik panas” antara 2 parti orang Melayu itu.