Pembenihan awan tangani jerebu di Semenanjung esok

‘Flare rack’ pada sayap pesawat ringan yang digunakan dalam kaedah pembenihan awan ‘dry seeding’. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Usaha mengurangkan jerebu di beberapa negeri di Semenanjung yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi akan dilakukan dengan proses pembenihan awan yang dijadual esok.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata proses pembenihan awan hanya dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai, dan lebih menumpukan perhatian kepada Selangor dan Johor yang masih mencatat bacaan IPU tinggi.

Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan kerjasama tentera udara dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Bagi menjaga kesihatan pelajar, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah akan ditutup pada Selasa ini, sekiranya IPU di negeri masing-masing mencatat bacaan melebihi 200.

Dalam pada itu, sambutan Hari Malaysia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, esok akan tetap diadakan biarpun keadaan jerebu di negeri itu kekal merekodkan bacaan IPU di tahap sangat tidak sihat.

Lokasi sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya diadakan di Padang Merdeka ditukar ke Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching.

Fenomena jerebu rentas sempadan itu turut memberi impak terhadap nelayan terutama dari segi hasil tangkapan dan pendapatan mereka.

Di Melaka, keadaan cuaca sangat tidak sihat, terutamanya di Bandaraya Melaka juga menyebabkan majlis perasmian Program [email protected] #IniRumahKita 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah pada 11.30 pagi tadi dibatalkan serta penduduknya dinasihat mengehadkan aktiviti luar.

Di Johor, sektor pelancongan ketika ini lebih tertumpu di kawasan tertutup khususnya dalam daerah di utara Johor, menurut Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Liow Cai Tung.

Sementara itu, Exco Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan memberitahu berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan terdapat peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan (325 kes), jangkitan mata (67 kes) dan asma (283 kes) akibat jerebu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga 6 petang tadi, 26 kawasan di seluruh negara menunjukkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan IPU bawah 200 manakala empat kawasan merekod IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (210), Samarahan (204), Bandaraya Melaka (215) dan Tangkak (249).

Kawasan mencatat kualiti udara tidak sihat sehingga 6 petang tadi ialah Putrajaya (128); Banting (129) dan Johan Setia Klang (113) di Selangor; Nilai (126), Seremban (128) dan Port Dickson (188) di Negeri Sembilan; Alor Gajah (163) dan Bukit Rambai (190) di Melaka; Segamat (170), Batu Pahat (166), Kluang (132) dan Larkin (125) di Johor; Rompin (128), Temerloh (126), Indera Mahkota Kuantan (158), Balok Baru Kuantan (108) di Pahang.

Kawasan lain dengan kualiti udara tidak sihat ialah ILP Miri (130); Miri (109); SK Kuala Baram 2 (111); Samalaju (121); Bintulu (149); Mukah (131); Sibu (155); Sarikei (172) dan Sri Aman (175) di Sarawak dan Tawau (128) di Sabah.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya dan orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.